Bantuan Untuk Petani, Nelayan Dan Pekebun Kecil Bukan ‘Tongkat’, Hargailah Mereka – Alwi


KUALA LUMPUR, 9 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad berpandangan bantuan kerajaan untuk pekebun kecil, petani serta nelayan bukanlah ‘tongkat’ sebaliknya merupakan bantuan yang sewajarnya diberi dalam memastikan kehidupan mereka terbela.

Pada masa yang sama beliau turut menggesa agar kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) melakukan sesuatu dalam usaha memastikan harga komoditi  terus stabil sekaligus dapat memberikan kelangsungan kepada golongan penoreh dan pekebun kecil sawit untuk meneruskan aktiviti di dalam bidang berkenaan.

“Bercakap soal bantuan…, bantuan untuk nelayan sebagai contoh sekurang-kurangnya memberikan sedikit kelegaan dalam penyediaan makanan asas kepada keluarga masing-masing setelah keluar untuk menangkap ikan dan begitu jugalah bantuan kepada pekebun kecil pada musim tengkujuh.

“Bantuan untuk nelayan RM200 sebulan banyak manfaatnya walaupun nampak kecil. Mereka turun ke laut yang begitu luas belum tahu ada hasil tangkapan atau sebaliknya untuk dibawa pulang. Itulah peranannya bantuan RM200 tersebut.

“Pekebun kecil pun sama juga. Kerajaan dahulu melihat pada musim tengkujuh golongan ini tidak boleh keluar menoreh. Jadi mereka ini diberikan bantuan untuk bulan Disember, Januari dan Febuari. Namun dalam bajet baru-baru ini langsung ini tidak ada tetapi akhirnya menteri kewangan bersetuju untuk memberikan bantuan tersebut.

“Begitu juga nasib pekebun sawit. Difahamkan hari ini upah menurunkan sawit RM80 satu tan dan upah kenderaan untuk hantar sawit ke kilang RM80 satu tan, Ertinya dah jadi RM160. Jadi kalau harga sawit itu RM200 satu tan pekebun sawit hanya akan mendapat RM40. Bagaimana pula dengan kos baja, pendebungaan, racun serangga pula? Jadi mereka ini tidak dapat apa. Kalau harga RM400 satu tan barulah selesa. Itu sebabnya menteri nak kena faham seumpama ini dan kalau tahu mesti mereka berusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Diskusi U3.0 yang bertajuk ‘Nasib Pekebun Kecil Petani Dan Nelayan’ yang dihoskan oleh Adenan Seman. Program berkenaan disiarkan secara Live menerusi medium rasmi UMNO-Online di pautan Https://.www.facebook.com/mediaumnomalaysia.

Alwi seterusnya menambah masalah yang menghimpit golongan berkenaan hanya boleh dirasai seandainya mereka yang dipertanggungjawabkan turun menyelami sendiri secara dekat dan apakah kerajaan hari ini sedar ataunpun tidak secara jelasnya tujuan bantuan kepada golongan berkenaan yang telah diberikan sebelum ini.

“Saya tidak tahu sama ada kerajaan hari ini faham atau tidak apa peranan bantuan tersebut diberikan. Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa golongan ini malas dan sebagainya.

“Begitu juga gesaan daripada menteri untuk mereka ini bercucuk tanam dan sebagainya. Saya cadangkan mereka ini pergi dua atau tiga hari turun padang untuk menyelami nasib golongan tersebut termasuk nelayan dan nelayan ini pula ada banyak golongan. Rasailah nasib golongan ini,” ujarnya.

Tegasnya lagi golongan ini adalah hero bangsa kerana mereka ini seperti petani dan nelayan serta pelbagai golongan lain yang berjuang dalam menyediakan keperluan makanan kepada negara.

“Golongan petani sebagai contoh mereka ini menyediakan beras… nelayan menyediakan ikan dan begitu jugalah mereka yang bela ayam. Kumpulan ini harus dibela seperti mana kerajaan membela warga tentera dan sebagainya lagi,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.