Harga Petrol… Apakah Rakyat Terus Tertipu, Dirompak : Inikah Malaysia Baharu?


KUALA LUMPUR, 4 Jan – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggap ‘merompak’ duit rakyat apabila masih belum menurunkan harga perol pada kadar yang sepatutnya walaupun perkara berkenaan mempunyai asas untuk diturunkan kerana melihat kepada pasaran semasa minyak dunia.

Perkara ini ditekankan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjadi panel program Diskusi U.30 yang bertajuk ‘Harga Petrol Rakyat Di ‘SST’ (Samun Secara Terancang)’ dan beliau melihatnya ratusan ribu rakyat menjadi mangsa kepada senario terbabit.

“Mereka ini ‘merompak’ duit rakyat dan kalau harga yang sepatutnya RM1.90 sen bermakna 30 sen mereka ‘rompak’ dan jika harga yang sewajarnya RM1.70 sen bererti 50 sen mereka ‘rompak’.

“Bukan seorang yang terkena sebaliknya ratusan ribu rakyat yang mengisi minyak tiap-tiap hari 24 jam dan tujuh hari seminggu. Sudah berapa bulan perkara ini berlaku dan mereka tidak meminta kebenaran pun.

“Jika harga pasaran itu lebih rendah daripada harga yang sepatutnya… katakan harga pasaran RM1.70 atau RM1.80 atau RM1.90 tetapi dikenakan RM2.20 sen bakinya itu adalah cukai yang diterima oleh kerajaan. Mereka mencukai rakyat tanpa rakyat beri kebenaran. Ini satu perkara yangt serius. Bukan main lagi kita (BN) dituduh ‘perompak’… sekarang ini merekalah ‘perompak’,” katanya.

Program Diskusi U3.0 dihoskan oleh Adenan Seman dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online malam tadi.

Tegas Ahmad perkara berkenaan tidak sepatutnya datang daripada Malaysia baharu yang dicanang oleh kerajaan hari ini setelah mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Ia tidak sepatutnya datang daripada Malaysia baharu. Rupanya ini yang dikatakan Malaysia Baharu ‘merompak’ di tengahari buta. Sepatutnya dah diturunkan. Sepatutnya apabila turun sahaja harga minyak bawah RM2.20 sen terus buat pengumuman dan terus ubah. Ini dilihat sengaja dikumpulkan supaya mereka mendapat pendapatan lebih tanpa rakyat tahu. Ini amat-amat tidak beretika,” ujarnya.

Malah kata beliau lagi, perkara berkenaan pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan juga Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini selain mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi facebook beliau.

“Ada pandangan daripada Profesor Universiti Putra Malaysia (UPM) ada menyebut sepatutnya harga minyak RM1.70 sen sementara Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli baru-baru ini masing-masing ada membuat pengiraan dan itu pada 25 Dis. Sebelum itu Datuk Seri Najib mengutarakan dalam Facebooknya sepatutnya harga minyak sudah turun sejak Nov dan pada bulan Dis harga minyak bukan lagi RM2.20 sen.

“Oleh kerana itu pada pandangan saya mereka menaikkan harga minyak, janji nak turunkan harga minyak tetapi ‘regim’ PH ini menaikkan harga minyak. Malah nampaknya sistem apungan yang kita laksanakan sebelum ini dalam penetapan harga minyak akhirnya dilihat terbaik.

“Hari ini ‘u-turn’ mereka semakin tajam nampaknya dan boleh dipanggil ‘v-turn’. Dulu tidak suka sekarang ini mereka mahu menggunakannya pula dan tidak ada idea lainkah? Dulu kita tukar setiap minggu dan hari ini mereka pun mahu melakukan perkara yang sama,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.