Kesal UMNO Dikaitkan Dengan Neon Countdown 2019

PORT DICKSON 3 Jan. – UMNO Bahagian Port Dickson kesal dengan dakwaan yang mengaitkan parti itu dengan pesta sambutan tahun baharu, Neon Countdown 2019 di Lukut, di sini baru-baru ini.

Ketuanya, Mohd. Faizal Ramli berkata, tuduhan mengatakan pemimpin parti tersebut terlibat dalam kerja-kerja mengutip bayaran tempat letak kenderaan semasa sambutan yang mengundang kontroversi itu adalah tidak benar.

“Ada yang menyalahkan dan memfitnah kononnya ‘orang kuat’ UMNO menjaga tempat letak kereta.

“Kita menafikan tuduhan itu dan mereka juga tidak dapat buktikan bahawa UMNO terlibat. Kita sendiri tidak menyokong sambutan itu dan tidak tahu mengenai program itu, tiba-tiba sudah siap pentas konsert,” katanya di sini hari ini.

Polis kelmarin menahan seorang wanita yang merupakan penganjur Neon Countdown 2019 bagi membantu siasatan, manakala lima pengunjung ditahan kerana didapati positif dan memiliki dadah semasa sambutan pada 31 Disember.

Program tahun baharu yang dicemari minuman keras dan pergaulan bebas itu turut mendapat bantahan penduduk.

Sementara itu, Mohd. Faizal turut mempersoalkan pihak yang meluluskan sambutan tersebut kerana ia sejak awal lagi didapati bertentangan dengan nilai moral masyarakat tempatan.

“Sudah tentu ada kelulusan, kalau tidak pastinya acara itu boleh dihentikan awal. Tak perlu tunggu keesokan harinya untuk bertindak iaitu selepas ia dikecam orang ramai.

“Saya juga mendapat tahu bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri dan bekas Ahli Parlimen Port Dickson turut berada di lokasi semasa sambutan pada malam itu, mungkin membuat tinjauan,” katanya.

Beliau menambah, kompaun yang dikenakan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) terhadap penganjur kerana kesalahan menganjurkan program tanpa kelulusan adalah tidak setimpal dengan kesan buruk yang dialami masyarakat setempat.

“Kompaun hanya sebanyak RM2,500. Denda menghisap rokok di dalam restoran lebih tinggi berbanding yang dikenakan terhadap penganjur,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.