Harga Minyak: Kerajaan Apa Ini… Senyap-senyap Kutip Subsidi Dari Rakyat

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih mengenakan harga petrol RON95 pada RM2.20 sedangkan harga minyak mentah dunia menunjukkan trend penurunan terus dibidas.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempersoalkan sikap kerajaan yang dianggap senyap-senyap mengutip ‘subsidi’ dari rakyat.

Menurut laporan, Kabinet belum mendapat kata putus mengenai penetapan harga petrol dalam mesyuarat mingguan yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam.

“Masih belum boleh buat keputusan. Hari itu buat pengumuman harga minyak akan turun pada 1 Januari. Sekarang tangguh pula sebab nak berunding dengan pemilik-pemilik stesen minyak.

“Inilah masalah bila buat pengumuman sebelum teliti semua aspek. Rumah dah siap pahat masih berbunyi.,” katanya melalui kenyataan dalam laman Facebooknya hari ini.

Pada 23 Dis lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa mulai 1 Jan, 2019, harga bahan api termasuk RON 95, akan mula diapungkan secara mingguan.

“Patut rakyat bayar RM1.90 untuk seliter RON95, tapi masih bayar RM2.20. Bermakna setiap liter rakyat memberi ‘subsidi’ 30 sen kepada kerajaan.

“Dulu minta rakyat derma kepada Tabung Harapan. Sekarang senyap-senyap kutip ‘subsidi’ dari rakyat. Kerajaan apa ini?” soal beliau lagi.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat kabinet semalam, Dr Mahathir bertemu wakil dan pimpinan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) namun sehingga kini tidak ada apa-apa kata muktamad mengenainya.

Pada masa ini, RON95 dijual pada harga RM2.20 seliter, RON97 pada RM2.50 seliter dan RM2.19 seliter bagi diesel. – MediaUMNO