Kerajaan Negeri Kedah Pimpinan PH Dibidas Kerana Hanya Pandai ‘Copy, Paste And Edit’


MERBOK, 2 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Aizat Azam menyifatkan pentadbiran kerajaan Negeri Kedah pimpinan Pakatan Harapan (PH) hanya penuh dengan ‘copy, paste and edit’ daripada program kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, setelah hampir tujuh bulan kerajaan PH mentadbir negeri Kedah, masih belum nampak sebarang usaha positif dan inisiatif baru yang diadakan khususnya untuk anak muda negeri itu.

“Sebagai contoh program Internship Mahasiswa Anak Kedah (IMAN) yang telah dilancarkan pada tahun 2016, yang merupakan ‘brain child’ saya dan rakan-rakan kepimpinan Mahasiswa Anak Kedah pada ketika itu telah ditiru sepenuhnya dan ditukarkan penjenamaan kepada program ‘Future Leaders Programme 2020’.

“Nampak sangat kerajaan negeri ketandusan idea… mereka menyedari bahawa IMAN adalah sebuah inisiatif yang baik di samping memberikan kesan yang amat positif kepada produktiviti kepimpinan akan datang maka mereka ciplak bulat-bulat.

“Persoalannya, mengapa perlu menukar nama program ini dan sampai bila konsep ‘copy, paste and edit’ ini akan diamalkan oleh kerajaan PH,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Namun apa yang paling dikesalkan ujar Aizat, adalah pengambilan bagi penyertaan program tersebut dikurangkan daripada 50 kepada 25 orang pelatih sedangkan pada 2017 Kerajaan Negeri ketika itu telah memperuntukkan 50 orang.

“Sudahlah cuba berlagak hero untuk memenangi hati anak muda tapi sebenarnya hanya meniru program lama dan sekadar menukar nama.

“Saya berharap untuk masa akan datang, kerajaan negeri akan lebih bertanggungjawab dan jangan sekadar meniru. Akui sahaja bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu sebenarnya adalah sesuatu yang baik,” ujarnya.

Untuk rekod, program IMAN adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan istimewa kepada mahasiswa-mahasiswa anak Kedah yang baru tamat pengajian di universiti melalui penempatan secara ‘internship’ di jabatan serta agensi Kerajaan Negeri termasuk di Pejabat Menteri Besar dan EXCO Kerajaan Negeri selama enam bulan.

Secara tidak langsung, program ini dapat membuka peluang kerjaya kepada anak Kedah untuk berkhidmat kepada Negeri Jelapang Padi.

Setelah kejayaan program IMAN siri pertama pada akhir tahun 2016, Kerajaan Negeri di bawah Datuk Seri Ahmad Bashah pada ketika itu telah membuat keputusan untuk menambahbaik program IMAN dengan meletakkan program ini di bawah agensi Kerajaan Negeri iaitu Institut Pengurusan dan Integriti (INSPIN). Bilangan penempatan juga telah ditambah daripada 25 orang pelatih kepada 50 orang pelatih kerana sambutan yang hangat daripada anak muda Kedah.

Pembentangan Bajet Negeri Kedah 2017 telah mengumumkan akan meningkatkan jumlah pengambilan program IMAN ini kepada 100 orang pelatih pada 2018 kerana Kerajaan Negeri Kedah ketika itu yakin dengan program tersebut adalah platform pengkaderan dan pencarian bakat muda yang amat berkesan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.