Harga Petrol Mingguan, Bantuan Sara Hidup… Kerajaan PH Iktiraf Dasar, Pelaksanaan Kerajaan Terdahulu – Anuar


KUALA LUMPUR, 29 Dis – Tindak-tanduk dan beberapa pelaksanaan oleh kerajaan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) setelah mengambil-alih teraju kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu bukan sahaja sebahagiannya disifatkan sebagai antara produk ‘copy n paste’ malah secara tidak langsung mengiktiraf apa yang dilaksanakan sebelum ini adalah terbaik untuk rakyat.

Bekas Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Manap berkata melihatkan kepada apa yang telah dilaksanakan sebelum ini seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang hari ini bertukar nama kepada Bantuan Sara Hidup (BSH), kemudiannya harga petrol secara mingguan menyerlahkan secara tidak langsung apa yang diperkatakan oleh mereka selama ini sekadar tohmahan dan fitnah semata-mata.

Menurut beliau jelas kepada masyarakat umum hari ini mereka yang sebenarnya menyelak kain sendiri atas segala yang mereka tohmah terhadap kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) kononnya tidak berpaksikan kepada kepentingan dan kebajikan rakyat namun hari ini sebaliknya pula yang terserlah.

“Itu belum kita teliti dan perhalusi lagi soal-soal lain. Tol kita difahamkan tidak ada kenaikan tahun depan. Itu semua dah tahu kerajaan sebelum ini pun tidaklah menaikkan setiap tahun. Yang menjadi persoalannya ke mana perginya janji untuk menghapuskan tol..janji mereka bukannya untuk tidak menaikkan tol.

“BR1M dulu dianggap macam-macam dan dipanggil dengan pelbagai gelaran akhirnya hari ini dipercepatkan pembayarannya. Memang bagus langkah berkenaan kerana ianya untuk rakyat. Sebab itulah dulunya kerajaan ditunjangi BN perkenalkan. Yang kita nak utarakan adalah sikap dan tindak-tanduk mereka yang hari ini menjadi kerajaan, berubah kepada 360 darjah.

“Itu belum masuk bab ‘u-turn’. Banyak benda yang mereka boleh dikatakan pusing balik sepertimana kontroversi yang melibatkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Setelah diasak dan didesak akhirnya ‘u-turn’,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Sekijang berkata demikian sebagai mengulas tindak-tanduk kerajaan hari ini yang mana dilihat seolah-olah tiada perkara baru sebaliknya mengekalkan apa yang telah diusahakan oleh kerajaan BN sebelum ini sedangkan ketika mereka menjadi pembangkang segala usaha berkenaan dipandang sinis dan penuh dengan pelbagai tohmahan.

Untuk rekod, harga minyak runcit secara mingguan mula diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini termasuklah BR1M yang bertukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH).

Beberapa hari lalu kerajaan dilaporkan akan kembali menetapkan harga minyak runcit secara mingguan bermula 1 Januari 2019 manakala BSH turut dilapor akan dipercepatkan pembayarannya.

Anuar seterusnya menegaskan apa yang berlaku setelah mereka menerajui negara, seolah-olah tidak ada benda mahu pun perkara baru yang diperkenalkan untuk rakyat dan mereka ketandusan idea.

“Percayalah…tradisi kepimpinan sebelum ini bertepatan dengan situasi ekonomi rakyat dan segala dasar mahupun perancangan berteraskan kepada masyarakat umum. Namun hari ini segala-galanya terdedah dan rakyat boleh membuat penilaian bahawa mereka pembangkang pada waktu itu sebenarnya sekadar bijak bercakap.

“Apa pun kita tunggulah pula tahun baru. Lagi pun hanya tinggal beberapa hari 2018 akan melabuhkan tirainya dan pengakhiran kepada tahun ini semua sudah tahu dan semua sudah dapat lihat sama ada ‘copy paste’ atau mahu ‘u-turn’,” katanya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.