U-Turn Lagi… Dulu Tuduh BN Rasuah, Dedak, ‘Cash Is King’


KUALA LUMPUR, 26 Dis – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya membuat pelbagai tuduhan kepada Barisan Nasional (BN) atas pelaksanaan pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

Katanya yang juga Ahli Parlimen Pekan, dahulu PH bukan main kerap lagi tuduh BR1M kerajaan BN ialah rasuah, dedak dan “Cash is King”.

“Kini PH mahu mempercepatkan bayaran BR1M. Mempercepatkan apa? Mempercepatkan rasuah, dedak dan ‘Cash is King’ kepada rakyat? Boleh tahan tajam juga U-turn terbaru ini,” sindir beliau secara sinis menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Katanya, langkah mempercepatkan bayaran BR1M ini juga satu tanda yang kerajaan PH tahu keadaan sebenar ekonomi hari ini lebih teruk dari jangkaan orang ramai.

“Mereka sedar rakyat sudah mula marah dengan kerajaan PH dan keadaan ekonomi yang semakin menurun.”

Jelasnya, jika BN masih mentadbir dan GST masih dilaksanakan, bayaran BR1M pertama untuk bulan depan bukan hanya RM300 tetapi sekurang-kurangnya RM600 seorang.

“Bukan itu sahaja. Dulu kita bayar kepada tujuh juta isirumah. Kini mereka bayar kepada 3.7 juta.

“Orang bujang dari golongan B40 juga akan dapat tetapi di bawah kerajaan PH, mereka telah diketepikan. Tak ada orang bujang yang susah, ke?

“Tidakkah orang bujang juga mengundi PH 9 Mei lalu malah ada yang berjuang bersungguh-sungguh di laman sosial? Apa kata orang bujang?” soal beliau lagi.

Dilaporkan, hari ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dibayar pada 28 Jan dan akan diteruskan untuk menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan B40 meringankan kos sara hidup mereka. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.