Kos Sara Hidup…Rakyat Terus Tertekan Dan Tanggapan Terhadap PH Meleset


KUALA LUMPUR, 26 Dis – Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari melihat tanggapan sesetengah pihak khususnya kalangan pembangkang ketika Barisan Nasional (BN) menerajui negara kononnya rakyat dihimpit kos sara hidup yang tinggi ternyata meleset.

Menurut beliau hari ini setelah kerajaan Persekutuan diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) pelbagai rungutan kedengaran apatah lagi menjelang beberapa hari sahaja lagi sesi persekolahan 2019 akan dibuka.

“Dua tiga hari lagi sesi persekolahan 2019 akan dibuka. Ada ibu bapa yang akan menghantar anak kembali ke sekolah bagi meneruskan sesi persekolahan sekolah rendah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah agama.

“Dalam kerancakan membuat persediaan persekolahan, terdengar rungutan ibu bapa mengenai kenaikan kos hidup yang memberi kesan kepada kos persekolahan anak-anak.

“Beberapa bulan lalu setelah Kerajaan Persekutuan diambil alih oleh PH, rakyat Malaysia beranggapan kos hidup yang kononnya tinggi semasa pentadbiran BN akibat pengapungan harga minyak petrol akan turun ternyata meleset.

“Bukan sahaja harga minyak yang dijanjikan RM1.50 seliter tidak dipenuhi malahan dikhabar kaedah menetapkan harga secara mingguan sebagaimana kaedah BN dahulu akan dilaksanakan semula,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambahnya sejak dahulu hingga BN hilang majoriti di Parlimen, Kerajaan BN sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia bagi mengimbangi kenaikan kos akibat kenaikan minyak petrol dunia.

Namun tambahnya lagi pada masa itu, Kerajaan BN diserang kiri dan kanan, kononnya sengaja menekan rakyat dengan kempen ‘Barang Naik’ puak-puak yang kini menjadi kerajaan.

“Semasa PH menjadi pembangkang mereka berjanji menurunkan harga minyak petrol dan memansuhkan kutipan tol. Namun segalanya tinggal kenangan kerana Kerajaan PH hari ini lebih banyak berpolitik daripada mencari solusi bagi memenuhi janji manifesto mereka.

“Apa yang kita amat kesalkan apabila kita tidak dapat lagi membantu rakyat miskin seperti dahulu akibat janji populis PH yang mengaburi mata rakyat. Program ‘Back To School’ sukar dilaksanakan dalam keadaan UMNO Malaysia masih menghadapi kekangan kewangan akibat akaun dibekukan.

“Kepada ahli-ahli UMNO yang setia, perjuangan kita walaupun dihimpit kiri dan kanan sehingga ramai yang merindui Kerajaan BN perlu diteruskan. Semoga kita terus istiqamah berjuang,” ujarnya lagi. – MediaUMNO