‘Tahniah’ Kerajaan Baharu Berjaya Stabilkan Harga Minyak – Khairy

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini secara sinis mengucapkan ‘tahniah’ kepada kerajaan Malaysia baharu apabila dapat menunaikan salah satu janji manifesto besar pilihan raya mereka iaitu menstabilkan harga minyak.

Namun pada masa yang sama beliau mengharapkan agar kerajaan menjelaskan kepada rakyat berapakah jumlah keuntungan hasil jualan petrol yang telah dikutip oleh disebabkan oleh perbezaan harga sehingga sekarang.

“Seperti yang kita maklum harga RON95 kekal pada harga RM2.20 seliter dari Mei sehingga akhir tahun ini. Syukur dapat Kerajaan yang mengutamakan rakyat. Ini mestilah sebab Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini menyediakan subsidi yang besar untuk memastikan harga minyak tidak naik, bukan seperti zaman Barisan Nasional (BN)!

“Tetapi, betul juga cakap “lunch buddy” saya, Saudara Rafizi Ramli: bukan ke harga minyak dunia dah turun? Beliau ada buat kiraan sendiri. Saya pun cuba buat kiraan saya ikut harga mingguan untuk mengesahkan kiraan Rafizi.

“Rupa-rupanya, sudah enam minggu Kerajaan PH kenakan cukai ke atas jualan petrol. Ini bermakna sudah enam minggu rakyat membayar lebih dari harga pasaran. Bukan setakat tidak dapat subsidi, enam minggu rakyat bayar ‘cukai’ kepada Kerajaan setiap kali isi minyak.

“Tetapi rakyat tak boleh mengomel sebab ingat, janji pilihan raya bukan turun harga minyak tapi mestabilkan harga minyak. Jadi walaupun harga minyak di pasaran dunia sudah turun Kerajaan tak perlu turunkan harga petrol di Malaysia sebab janji nak stabilkan sahaja… kan dah kena,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di facebooknya, di sini, hari ini.

Jelas Khairy lagi harga terkini RON95 mengikut Automatic Pricing Mechanism (APM) bagi setiap liter adalah lebih rendah daripada harga jualan yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.20 dan kadar harga di bawah RM2.20 ini juga bukanlah baru berlaku beberapa hari yang lepas, sebaliknya sudah berlarutan sejak 8 November yang lalu, lebih daripada sebulan.

“Dengan kata lain, lebih sebulan jugalah kerajaan telah mengutip keuntungan atau mengenakan cukai ke atas setiap liter jualan petrol. Jika disemak, harga jualan petrol RON95 bagi minggu ini adalah sekitar RM1.94. Manakala bagi tempoh 5 minggu sebelum ini, harga jualan RON95 sepatutnya adalah antara RM1.95 sehingga RM2.18 sahaja.

“Namun, kerajaan masih tetap membuat keputusan untuk mengekalkan harga jualan RON95 pada kadar RM2.20 walaupun berlaku penurunan harga yang agak ketara bagi tempoh tersebut. Sementara menunggu pengumuman harga runcit baharu petrol ‪pada 1 Januari 2019, saya berharap Kementerian Kewangan (MOF) atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat menjelaskan kepada rakyat Malaysia berapakah jumlah keuntungan hasil jualan petrol yang telah dikutip oleh kerajaan dari tempoh tersebut sehinggalah sekarang disebabkan oleh perbezaan harga ini,” ujarnya.

Tambah Khairy menerusi pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, kerajaan PH telah memutuskan untuk mengembalikan penentuan harga runcit petrol bermula ‪1 Januari 2019 mengikut sistem APM berdasarkan apungan harga semasa seperti mana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Memandangkan kerajaan PH sering melaungkan ketelusan sebagai agenda pentabdbiran mereka, saya juga mengharapkan agar mekanisme baharu APM yang akan diperkenalkan bermula Januari depan didedahkan kepada rakyat agar lebih mudah untuk rakyat membuat semakan terhadap harga jualan petrol pada masa hadapan, dan saya mahu Kerajaan mengumumkan sama ada ditentukan harga siling sebelum subsidi diberi atau tidak.

“Tetapi apa yang pasti, keputusan kerajaan PH untuk mengembalikan sistem APM mengikut harga apungan semasa menjadi bukti jelas bahawa kaedah yang digunakan oleh kerajaan BN sebelum ini adalah tepat dan sangat sesuai dilaksanakan,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.