Mereka Yang Tinggalkan Parti Golongan Yang Tewas Dalam Perjuangan

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata mereka yang meninggalkan parti adalah golongan yang tewas dalam perjuangandan tiada nilai perjuangan yang boleh diteladani daripada golongan berkenaan.

Menurut beliau apa yang benar dalam perjuangan ialah mereka yang mengambil tanggungjawab dan yang bertahan teguh pada prinsip serta pendirian biar apa pun kesukaran dan cabarannya.

“Mana mungkin kepercayaan yang didukung selama 6 dekad, berubah dan menjadi tohor dalam 6 bulan selepas tewas? Saya tidak mahu kita semua terus dibelenggu keresahan dengan pemergian mereka. Yang pergi, biarkan pergi. Yang tinggal, harus bangkit dan menjalankan tanggungjawab bersama. Pada saya, ada beberapa pengajaran yang boleh kita perhati dan jadikan teladan.

“Pertama, tindakan lari dari parti jelas menunjukkan sisi sebenar diri mereka yang selama ini kita tidak ketahui. Tidak usah kita risau. Mereka yang lari dari wadah perjuangan ini tidak akan merugikan kita. Sudah lumrah, ibarat sebuah perkahwinan, jika takdirnya adalah perpisahan, maka berpisahlah.

Jangan ditahan-tahan mereka yang mahu pergi dan tidak sanggup untuk terus susah dan senang bersama. Jangan dirayu jangan ditagih. Nescaya akan ada kehidupan lain selepas itu. Malah, selalunya, ia adalah kehidupan yang lebih baik.

“UMNO perlu meneruskan langkah ke hadapan, tanpa meratapi pemergian mereka yang sudah tidak lagi sudi bersama kita. Ketidaksudian mereka ini menzahirkan kelemahan prinsip, etika, semangat dan jati diri. Orang perjuangan tidak ada sifat-sifat yang demikian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Khaled seterusnya menambah orang perjuangan setia orangnya namun dalam kesetiaan yang ada, pejuang akan menyanggah kebatilan dengan bijaksana, berhikmah dan penuh berprinsip.

“Yang penting sekali, orang perjuangan tidak akan pernah lari daripada perjuangan asalnya, yang menjadi tunjang kepada pegangan dan prinsipnya.

“Kedua, tindakan mengalu-alukan pelarian UMNO menunjukkan kerapuhan kedudukan dan sisi sebenar penerimanya. Sejujurnya sebelum ini saya sedikit iri hati dengan sesetengah parti dan pemimpin. Kerana, mereka sangat tegas dan berprinsip. Mereka mahu mencari pejuang. Malah, kita harus akui, dalam sesetengah keadaan, mereka berjaya menemui pejuang dan bangkit bersama.

“Kini, perasaan tersebut hilang sama sekali. Saya hanya mampu tersenyum. Parti dan mereka yang saya fikirkan kental dan benar-benar berdarah pejuang, tidak lebih dari sekadar satu pertubuhan Alumni UMNO. Jika trend ini berterusan, percayalah, bekas-bekas ahli UMNO akan lebih ramai dalam sesuatu parti itu, termasuklah melebihi jumlah mereka yang mula-mula sekali mengasas danmemperjuangkannya,” tegasnya.

Berikut kenyataan penuh Datuk Seri Khaled Nordin.

Mereka Bukan Pejuang

Seringkali kita menggunakan istilah PEJUANG untuk mengaburi keterdesakan dalam mengejar PELUANG. Banyak beza antara ‘pejuang’ dan ‘peluang’.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa ahli-ahli politik yang telah meninggalkan UMNO, untuk menjadi bebas mahupun menyertai wadah-wadah politik lain, adalah pejuang – yakni mereka yang benar-benar faham dan ikhlas dalam perjuangan.

Tidak, mereka bukan pejuang. Bukan. Mereka adalah golongan yang tewas dalam perjuangan. Tiada sekelumit nilai perjuangan yang boleh kita teladani daripada mereka.

Yang benar dalam perjuangan ialah mereka yang mengambil tanggungjawab. Yang bertahan teguh pada prinsip dan pendirian. Biar apa pun kesukaran dan cabarannya. Mana mungkin kepercayaan yang didukung selama 6 dekad, berubah dan menjadi tohor dalam 6 bulan selepas tewas?

Saya tidak mahu kita semua terus dibelenggu keresahan dengan pemergian mereka. Yang pergi, biarkan pergi. Yang tinggal, harus bangkit dan menjalankan tanggungjawab bersama. Pada saya, ada beberapa pengajaran yang boleh kita perhati dan jadikan teladan.

Pertama, tindakan lari dari parti jelas menunjukkan sisi sebenar diri mereka yang selama ini kita tidak ketahui.
Tidak usah kita risau. Mereka yang lari dari wadah perjuangan ini tidak akan merugikan kita. Sudah lumrah, ibarat sebuah perkahwinan, jika takdirnya adalah perpisahan, maka berpisahlah. Jangan ditahan-tahan mereka yang mahu pergi dan tidak sanggup untuk terus susah dan senang bersama. Jangan dirayu jangan ditagih. Nescaya akan ada kehidupan lain selepas itu. Malah, selalunya, ia adalah kehidupan yang lebih baik.

UMNO perlu meneruskan langkah ke hadapan, tanpa meratapi pemergian mereka yang sudah tidak lagi sudi bersama kita. Ketidaksudian mereka ini menzahirkan kelemahan prinsip, etika, semangat dan jati diri. Orang perjuangan tidak ada sifat-sifat yang demikian.

Orang perjuangan setia orangnya. Namun dalam kesetiaan yang ada, pejuang akan menyanggah kebatilan dengan bijaksana, berhikmah dan penuh berprinsip. Yang penting sekali, orang perjuangan tidak akan pernah lari daripada perjuangan asalnya, yang menjadi tunjang kepada pegangan dan prinsipnya.

Kedua, tindakan mengalu-alukan pelarian UMNO menunjukkan kerapuhan kedudukan dan sisi sebenar penerimanya.

Sejujurnya sebelum ini saya sedikit iri hati dengan sesetengah parti dan pemimpin. Kerana, mereka sangat tegas dan berprinsip. Mereka mahu mencari pejuang. Malah, kita harus akui, dalam sesetengah keadaan, mereka berjaya menemui pejuang dan bangkit bersama.

Kini, perasaan tersebut hilang sama sekali. Saya hanya mampu tersenyum. Parti dan mereka yang saya fikirkan kental dan benar-benar berdarah pejuang, tidak lebih dari sekadar satu pertubuhan Alumni UMNO. Jika trend ini berterusan, percayalah, bekas-bekas ahli UMNO akan lebih ramai dalam sesuatu parti itu, termasuklah melebihi jumlah mereka yang mula-mula sekali mengasas dan memperjuangkannya.
Terdesak? Tiada pilihan? Demi kelangsungan? Semua ini adalah teka-teki yang tidak terlalu sukar untuk kita jawab. Terpulang untuk kita menilainya sendiri.

Ketiga, senario lari parti oleh pemimpin UMNO mendorong kita untuk menyemak semula maksud perjuangan dan iltizam politik.

Mari kita tanyakan. Di manakah sebenarnya terletak nilai sebuah perjuangan? Wang ringgit? Pengaruh? Jawatan? Ataupun kesenangan?

Ada yang mengatakan, bahawa tanpa wang, perjuangan akan menjadi tumpul. Tanpa pengaruh dan kesenangan, orang Melayu tidak akan mendengar dan menyokong perjuangan kita.

Saya tidak menyangkal bahawa wang, pengaruh dan kesenangan itu merupakan instrumen yang sedikit sebanyak membantu dalam perjuangan. Tetapi jangan pula kita keliru dan terperdaya, bahawa instrumen-instrumen tersebut bukanlah perkara pokok yang utama. Sunnah berjuang tidak pernah menyenangkan. Tidak pernah disadur emas permata. Hanya yang terpilih sahaja yang mampu untuk meneruskannya.

Paling saya sedih dan kesalkan, dalam semua perkiraan ini (wang, pengaruh, jawatan dan kuasa) tidakkah sedikit pun mereka ini fikir tentang satu perkara yang paling penting? Iaitu rakyat dan pengundi yang mengangkat mereka. Apakah rakyat dan pengundi adalah perkiraan paling akhir dalam membuat keputusan? Sehinggakan undi yang mereka buang atas nama parti asal mereka itu sudah sedikit pun tidak bernilai?

Kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih sedalamnya kepada anda. Terimalah ahli-ahli UMNO yang telah berpindah ke PPBM sebagai hadiah ikhlas dari kami semua.

Percayalah, pemergian ahli UMNO dan kemasukan mereka ke dalam Bersatu tidak akan membuatkan kami hilang tidur. Sebaliknya, mereka pasti akan membuatkan kalian berjaga malam.

Kerana mereka adalah virus yang selama ini menyakiti dan merosakkan UMNO. Dan virus, biar di mana pun mereka berada, pasti akan membawa sakit dan rebah. Saya tidak mahu mendoakan. Tetapi, saya yakin, virus-virus penyakit yang selama ini telah membarah dalam UMNO, pasti akan menjadi sebahagian daripada darah daging Bersatu pula.

Setahun daripada sekarang, virus-virus penyakit itu akan merebak ke seluruh batang tubuh politik PPBM. Mereka ini amat manipulatif dan berpengalaman. Mereka pandai mengambil kesempatan ke atas struktur politik yang barangkali, Tun Mahathir sendiri telah bina.

Saya yakin, dalam sedikit masa lagi, mereka akan menjadikan Bersatu itu seperti UMNO juga. Gelarlah ia Bersatu, tetapi sebenarnya, ia adalah UMNO 2.0 atau 3.0. Nama bukan sesuatu yang penting.

Mereka akan bawa bersama mereka budaya politik naugan dan wang. Mereka akan mencari segala kesempatan dan ruang bukan untuk berjuang, tetapi mengaut manfaat untuk diri mereka. Pengikut-pengikut mereka, penyokong-penyokong mereka, pasti akan ditarik masuk ke dalam Bersatu. Perhimpunan Agung PPBM sudah tidak lama. Saksikan sendiri nanti bagaimana mereka ini akan turun dan melebar pengaruh.

Sedikit demi sedikit, Bersatu akan diambil alih. Sedikit demi sedikit, yang ‘Bersatu’ akan ‘Berpecah’. Bersatu akan menyaksikan kem-kem baharu – kem ahli sejati dan pejuang asal Bersatu dan kem ‘pendatang’ dan ahli bawaan alumni UMNO.

Pada saat itu, kalian akan melihat, mengapa UMNO tidak pernah gusar dengan pemergian mereka.
Ucapan saya kepada anda, terima kasih kerana membersihkan UMNO. Selamat berjaya dengan sisa-sisa yang dikutip.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO
-TAMAT-