PH, Penderitaan Masyarakat Luar Bandar Itu Benar! – Ismail Sabri

BERA, 20 Dis – Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal kebajikan masyarakat luar bandar terutama petani, nelayan, penoreh getah dan pekebun sawit terus tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ismail, yang juga Naib Presiden UMNO amat memahami penderitaan yang dihadapi oleh golongan terbabit kerana kerajaan PH telah menghentikan segala bentuk bantuan yang telah kerajaan Barisan Nasional (BN) berikan sebelum ini.

“Apa usaha kerajaan hari ini untuk menolong para nelayan darat? Demi nelayan, penduduk luar bandar,” soal Ahli Parlimen Bera itu yang turut memuatnaik rintihan nelayan darat tersebut di laman Facebooknya.

Manakala bagi pekebun sawit dan peneroka Felda menurutnya, hari demi hari mereka menanti apakah nasib mendatang kerana dibelenggu masalah harga sawit yang semakin merudum jatuh tambahan pula terpaksa juga membayar hutang ketika harga jatuh.

Dalam entri sebelum, Ismail juga melontarkan satu video pendek luahan seorang penoreh getah yang kini terpaksa menanggung kehidupan yang amat memeritkan kesan daripada penurunan berterusan harga komoditi, tambahan pula dengan musim tengkujuh serta penggal persekolahan hampir bermula.

“Musim tengkujuh tidak boleh menoreh. Dulu dapat bantuan sara hidup RM200 sebulan. Bantuan buka sekolah RM100 setiap anak. Sekarang semuanya sudah tiada.

“Inilah penderitaan yang sedang dihadapi penduduk kampung, masyarakat luar bandar,” kata ahli Parlimen Bera itu dengan penuh simpati.

Justeru, Ismail dengan tegas mahu kerajaan melihat satu hakikat bahawa penderitaan penoreh getah adalah benar.

Ismail juga mendedahkan rintihan seorang suri rumah yang amat terkesan dengan kenaikan harga barang yang tidak setimpal dengan pendapatan yang diperolehi.

Untuk rekod, Menteri Kemajuan Luar Bandar kerajaan PH disandang oleh Datuk Seri Rina Harun, ahli Parlimen dari Bandaraya Kuala Lumpur iaitu Titiwangsa manakala Teresa Kok, wakil rakyat Parlimen Seputeh, juga dari kawasan di bandaraya tersebut diberi tanggungjawab sebagai menteri yang menjaga komoditi getah dan kelapa sawit. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.