Kematian Adib Serius : Tubuh Suruhanjaya Diraja Dan Heret Semua Ke Muka Pengadilan Termasuk Menteri


KUALA LUMPUR, 19 Dis – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil berkata bukan empat orang penjenayah yang telah memukul anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim sehingga mati perlu bertanggungjawab tetapi pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri dan Persekutuan juga perlu bertanggungjawab kerana urusan kes perpindahan kuil di USJ tersebut adalah di bawah bidang kuasa mereka.

Jelas beliau, menteri-menteri yang bertanggungjawab membuat kenyataan-kenyataan hasutan dan perkauman sehingga mencetuskan rusuhan ini termasuklah Perdana Menteri sendiri sepatutnya meletakkan jawatan kerana kematian Adib adalah di tangan mereka juga.

“Bukan empat orang yang telah ditahan itu sahaja yang perlu bertanggungjawab tetapi dalang-dalang yang telah mencetuskan kejadian rusuhan yang menyebabkan kematian arwah Adib juga perlu dipertanggungjawabkan kerana mengeluarkan kenyataan hasutan dan perkauman.

“Mungkin arwah Adib tidak akan dipukul sebegitu rupa di situ sekiranya perkara ini diuruskan dengan baik dan tertib oleh pihak yang bertanggungjawab” ujar beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik di status laman sosial Facebook.

Oleh itu tegas beliau sebagai rakyat biasa mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat punca sebenar (root cause) yang telah menyebabkan kematian arwah Adib ini.

Tambah Isham, anggota bomba ini bukan askar dan bukan polis, tugas mereka bukannya kombatif, namun mereka adalah penyelamat nyawa orang ramai yang ditimpa malapetaka seperti kebakaran, tanah runtuh, banjir dan sebagainya.

“Saban kali mereka berkorban bersabung nyawa untuk menyelamatkan orang lain yang mereka tidakpun kenali dan saban kali mereka terkorban nyawa sendiri untuk menyelamatkan nyawa orang lain daripada musibah.

“Mereka ini adalah hero masyarakat dan tanda bahawa dalam dunia ini masih ada manusia yang berhati murni yang sanggup berkorban untuk orang lain dalam kesusahan”, katanya.

Sebab itu tegas beliau apabila seorang ahli bomba dibunuh semasa menjalankan tugas, ia bukanlah satu perkara biasa yang boleh diambil ringan atau dilupakan begitu sahaja selepas beberapa hari.

“Ini bukanlah kes bunuh dan kematian biasa. Kita tidak boleh menerima atau mengambil remeh perkara ini.

“Jika kita terima atau ambil remeh perkara ini, maka kita juga terima bahawa kita ini adalah masyarakat yang kejam dan tidak bertamadun. Ini adalah perkara yang amat serius dan membawa implikasi besar. Sebab masyarakat sebegini membawa kadar jenayah yang amat tinggi dan tahap kesusilaan (decency) dan jatidiri yang amat rendah.

“Saya tidak mahu hidup dalam masyarakat sebegini. Ini perlu diubah. Kita perlu menjadi masyarakat yang tinggi nilai kemanusiaan dan jatidiri supaya anak-anak kita dapat hidup dalam keadaan yang baik dan harmoni di masa hadapan,” ujarnya.

Justeru tambah beliau, bagi memastikan perkara ini tidak berulang, semua yang bertanggungjawab di dalam kes ini perlu di bawa ke muka pengadilan untuk diambil tindakan maksimum. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.