Kenang Adib Dengan Mencari Keadilan Untuknya – Khaled

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak seluruh rakyat negara ini untuk mengenang pengorbanan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang maut dalam rusuhan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dengan mencari keadilannya untuknya.

Jelas beliau, kematian Adib harus ada pembelaan sewajarnya dan tiada sesiapapun yang boleh bertindak di luar batas undang-undang.

“Negara ini negara hukum dan semua warganya mesti hidup dan bertindak berdasarkan undang-undang. Biar apa pun alasan dan matlamatnya.

“Saya yakin, Kerajaan akan bertindak seadil dan sesaksama mungkin. Hukuman setimpal mesti dijatuhkan kepada mereka yang melakukan jenayah kejam ini lebih-lebih lagi ia melibatkan seorang ahli pasukan penyelamat Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Selain itu Khaled turut menyeru kepada seluruh ahli politik di negara ini untuk mengambil teladan daripada kisah Adib.

“Berilah sumbangsih pada Malaysia ini dan hentikan ‘politiking’. Malaysia memerlukan pemimpin yang akan melakukan pengorbanan dan bukannya sentiasa mengejar kuasa dan pengaruh. Malaysia bukan hanya tentang siapa paling berkuasa, tetapi tentang siapa yang paling banyak menyumbang dan memberi.

“…Yang pasti, Adib memberikan saya perspektif baru dalam menyumbang, bahawa kita tidak memerlukan hanya kuasa untuk berbakti. Sekecil mana pun kita, di peringkat mana pun kita, kita semua berada dalam kedudukan terbesar untuk memberi kepada negara.

“Yang kita perlukan adalah kesungguhan untuk melakukan perkara yang benar dan betul. Tidak ramai mereka yang menjadi tersohor kerana kerja ikhlas mereka setelah mereka pergi. Adib adalah teladan terpencil,” luah beliau.

Tambah Khaled, kematian Adib juga harus dijadikan penguat iltizam untuk memberikan yang terbaik kepada tanahair dan yang paling utama ialah memupuk ikatan sosial dan perpaduan negara dengan sebenar-benarnya.

“Mohammad Adib adalah mangsa jenayah kepada yang ingin merosakkan kehidupan berbangsa dan bernegara di negara ini. Mereka ingin menimbulkan ketegangan antara kaum atas isu yang bukan pun bersifat perkauman. Mereka yang bertindak atas emosi dan bukan akal yang waras.

“Jadi, Adib mesti menjadi inspirasi untuk kita mencari jalan kesatuan Malaysia yang lebih unggul dan bukan hidup berbangsa-bangsa yang menjauhkan. Jika tidak, pemergian Adib dalam usaha mewujudkan keharmonian itu akan menjadi sia-sia.

“Kita mesti menjadikan insiden yang menimpa Adib sebagai pendorong untuk kita melakukan apa jua bagi membanteras segala bentuk sentimen prejudis terhadap mana-mana agama, bangsa dan latar belakang kepercayaan. Apa yang terjadi kepada Adib harus dikenang selain cerita politik yang memualkan sejak kebelakangan ini,” ulas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.