Keadilan Untuk Adib, Pemimpin PH Pencetus Rusuhan Mesti Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Pemergian Muhammad Adib Mohd Kassim semalam adalah satu tragedi tahun 2018 yang menjadi kesedihan seluruh rakyat Malaysia, kerana Allahyarham bukan cedera terkena kebakaran, bukan juga kemalangan ketika menyelamat, tapi dibelasah teruk oleh perusuh seperti yang disahkan oleh pihak berkuasa.

Selaras dengan itu, Pergerakan Puteri UMNO mendesak pihak kerajaan dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan tegas kepada semua yang terlibat termasuk dua pemimpin Pakatan Harapan (PH), Waytha Moorty dan Ganabatirau yang dilihat menjadi pencetus rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada hari kedua yang mengakibatkan Muhammad Adib dibelasah teruk ketika bertugas.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata Ini bukan isu kaum, bukan isu agama, tapi ia adalah tindakan ‘tidak waras’ hanya segelintir kumpulan ‘tidak bertamadun’ terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan PH sehingga berlaku rusuhan yang mengorbankan nyawa.

“Kami memantau dekat dan memandang serius isu ini kerana ia melibatkan korban nyawa insan tidak bersalah.

“Semalam PDRM telah klasifikasikan kematian Adib sebagai kes bunuh, jadi dalang yang menjadi punca mestilah dipertanggungjawabkan dalam kematian ini.

“Sekiranya semua hayati kedaulatan undang undang sudah tentu tragedi buruk ini tidak berlaku,” tegas beliau dalam kenyataan media hari ini.

Justeru katanya, semua harus bertenang dan Pergerakan Puteri UMNO turut menolak dan mengecam apa sahaja tindakan menjurus ke arah mencetus isu perkauman yang akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Kita hanya mahu tindakan tegas kerajaan dengan membawa dalang ke muka pengadilan bukan mengamalkan pendakwaan terpilih.”

Muhammad Adib, anggota bomba yang cedera dalam insiden rusuhan di sebuah kuil bulan lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam tadi.

Susulan kematiannya, kes tersebut yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham ketika itu menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.