Kerajaan Kakistokrasi Beri Jawapan Separuh Masak Akhiri Sidang DUN Johor

JOHOR BAHRU, 17 Dis – Ketua Pembangkang Negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berasa kecewa dengan Sidang Dewan Negeri Johor yang sudah pun berakhir apabila rata-rata mereka dalam kerajaan memberikan jawapan separuh masak dan setakat melepaskan batuk di tangga.

Katanya, sidang Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor yang ke-14 berakhir dengan perbahasan demi perbahasan serta soal lisan yang mana setelah diamati dan diteliti memberi penilaian sendiri bahawa ia adalah jawapan ‘orang buat kerja’ atau mereka yang hanya membaca dari teks yang disediakan.

“Jika kita lihat hujah-hujah sesetengah YB EXCO kerajaan Negeri Johor sekarang, saya berasa amat kecewa,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dalam kenyataan media hari ini.

Namun begitu, katanya dalam keserabutan argumen-argumen yang ada, perbahasan YB Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menarik perhatian dengan mencadangkan beberapa perkara.

“Sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Menteri Besar Johor, namun oleh kerana beberapa kekangan yang dialami beliau, negeri ini terpaksa ‘settle for lesser than less’.

“Kita mempunyai banyak potensi yang boleh diterokai dan dibangunkan, namun sebuah kerajaan kakistokrasi membantutkan semua usaha tersebut.”

Katanya, dalam hujahnya Muhyiddin mencadangkan beberapa perkara iaitu mengatasi kerenah birokrasi program dan inisiatif kerajaan.

“Cadangan ini amat baik, apabila kita melihat mekanisme pelaksanaan Janji 100 Hari Pakatan Harapan (PH) yang tidak komprehensif, tidak demokratik dan tidak mesra rakyat. Contohnya, tiada laman sesawang yang berfungsi dan saluran-saluran penyampaian maklumat lain yang diwujudkan bagi menghebahkan pelaksanaan manifesto mereka.

“Borang permohonan juga perlu diambil secara fizikal daripada satu pihak yang demikian berkemungkinan terdedah kepada unsur kronisme. Kata dulang paku serpih, kata orang, dia yang lebih”, ujarnya.

Kedua jelas Hasni, Muhyiddin mahu sokongan memudah cara bagi pembangunan di Bandar Universiti Pagoh.

“Pada hemat saya, pembangunan ini bukan sahaja dalam sudut fizikal namun perlu selaras dengan pembangunan intelektual dan akhlak penuntut-penuntut ilmu di sana yang berjumlah sekitar 15, 000 orang.

“Ini adalah peluang kerajaan negeri untuk membuktikan keseriusan mereka dalam menyemai nilai dan amalan demokratik di Johor. Jadikan Bandar Universiti Pagoh sebagai katalis demokrasi matang dengan memberi ruang bagi ahli politik kerajaan dan pembangkang untuk berdiskusi bersama penuntut di sana tanpa sebarang halangan.”

Katanya, cadangan ketiga Muyiddin adalah saranan untuk kerajaan negeri sentiasa mengamalkan prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik, mendukung undang-undang, mengelakkan rasuah, dan campur tangan tidak munasabah daripada mana-mana pihak, yang amat dipersetujui.

“Meskipun beliau bercakap dalam konteks hubungan kerajaan negeri dengan pelabur, namun saya berfikir, elok jika prinsip-prinsip ini didukung oleh pelbagai lapisan pentadbiran awam negeri, ahli-ahli politiknya serta penguasa yang paling tertinggi negeri.

“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, dek kerana kegagalan para pemimpin dan penguasa untuk menghayati prinsip-prinsip di atas, banyak institusi berkepentingan umum sudah rosak dan dinodai.

“YB Gambir juga menyatakan cadangan agar kerajaan negeri melaksanakan Reformasi Perkhidmatan Awam, dengan menekankan para kakitangan awam harus merubah pendekatan mereka selari dengan hasrat kerajaan negeri pada hari ini.

Tegasnya, di pihak pembangkang menerima cadangan ini dan berharap penjawat awam negeri akan menjadi lebih terbuka, berani dan berintegriti sesuai dengan semangat ‘Malaysia Baru’.

“Yang terakhir, beliau berhasrat agar kerajaan negeri mempertimbangkan penubuhan Majlis Ekonomi Johor iaitu majlis ini perlu dianggotai oleh tokoh-tokoh yang berpengalaman di dalam ekonomi dan industri dalam pelbagai sektor.

“Maka cadangan YB Gambir bagi menubuhkan Majlis Ekonomi Johor amat saya alu-alukan, namun begitu, saranan saya bagi majlis ini adalah, ia juga harus membincangkan masalah kesenjangan sosio-ekonomi antara kaum di Johor seperti jurang pendapatan yang semakin ketara di antara luar bandar dan bandar serta perihal tenaga kerja terlatih dan tidak terlatih dalam kalangan orang muda Johor juga mesti diwacanakan, dengan memberi syor-syor yang munasabah bagi pertimbangan kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan.”

Beliau yang juga ADUN Benut berkata, benarlah kata orang, pokok gambir itu sendiri banyak gunanya iaitu selain telah memacu pertumbuhan ekonomi negeri Johor suatu ketika dahulu, daripada daun sehingga hampasnya, sentiasa memberi manfaat kepada makhluk sekeliling.

“YB Gambir telah memberikan banyak hikmah dan manfaat kepada negeri Johor, meskipun dikelilingi barisan kepimpinan negeri yang tidak berpengalaman, amatur, tidak cekap dan yang amat malang lagi, kerajaan yang masih berlagak seperti pembangkang,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.