Perjuangan Tanpa Prinsip Adalah Perjuangan Yang Rapuh – Mohamad


KUALA LUMPUR, 14 Dis – Dalam perjuangan, kesetiaan bukan sesuatu yang boleh dituntut oleh sesiapa tetapi yang lebih utama adalah keutuhan berprinsip, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, perjuangan tanpa prinsip ialah perjuangan yang rapuh serta pasti tiada kelangsungan.

“Perjuangan yang berprinsip ialah perjuangan yang terbit daripada keyakinan moral yang mendalam bahawa apa yang kita perjuangkan itu, dapat kita benar-benar jiwai.

“Perjuangan yang berprinsip juga ialah cerminan nilai, pemikiran, keperibadian dan wibawa kita. Lantas, pemimpin yang berprinsip tidak akan sama sekali berkompromi dengan nilai dan kepercayaannya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu lagi, sejak berpuluh tahun beliau berjuang di dalam UMNO, amat sedikit pendukung parti berbicara tentang ideologi UMNO.

“Tentang prinsip dan kepercayaan yang menjadi teras parti kita ditubuhkan. Selama berpuluh tahun juga, saya menyaksikan bahawa pemimpin yang mempunyai pemikiran besar, idea luar biasa, keteguhan keperibadian dan keyakinan yang mendalam terhadap perjuangan, jarang sekali mendapat tempat dalam parti.

“Kerana kita terbiasa dengan budaya politik kuasa bukan politik berprinsip. Justeru itu, saya sangat yakin, usaha kita merawat, memulih dan membangunkan UMNO ini mestilah dengan mengembalikan kepimpinan berprinsip dan bermoral,” tegasnya.

Mengulas mengenai persada politik terkini yang melanda parti serta melihat apa yang berlaku, Mohamad menyatakan kerisauan yang sangat mendalam.

“Semenjak pilihan raya umum ke-14, melihat rakan-rakan seperjuangan yang saya kenal, meninggalkan parti yang selama ini menjuangi kami semua, adalah sangat menyedihkan.

“Tetapi inilah politik. Masing-masing ada perhitungan sendiri. Mereka pasti mempunyai rancangan sendiri dan kita harus menghormatinya. Seperti yang saya ulas dalam kenyataan saya sebelum ini, tiada paksaan dalam sebarang perjuangan,” ujarnya lagi.

Justeru katanya, telah tiba masanya parti mencari mereka yang yakin dengan ideologi UMNO yang hakiki, iaitu mereka yang memperjuangkan politik pertengahan yang akan membuahkan kebaikan kepada bangsa Melayu dengan sebanyak-banyaknya, tanpa mengabaikan kepentingan rakyat Malaysia yang lain. – Media UMNO.

Berikut merupakan kenyataan penuh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

KEPIMPINAN BERPRINSIP, PEMULIHAN UMNO DAN MASA DEPAN MALAYSIA

Saya melihat apa yang berlaku di persada politik UMNO dengan kerisauan yang sangat mendalam.

Semenjak pilihan raya umum ke-14, melihat rakan-rakan seperjuangan yang saya kenal, meninggalkan parti yang selama ini menjuangi kami semua, adalah sangat menyedihkan.

Tetapi inilah politik. Masing-masing ada perhitungan sendiri. Mereka pasti mempunyai rancangan sendiri dan kita harus menghormatinya. Seperti yang saya ulas dalam kenyataan saya sebelum ini, tiada paksaan dalam sebarang perjuangan. Kesetiaan bukan sesuatu yang kita boleh tuntut daripada sesiapa pun.

Tetapi sesuatu yang mesti ada dalam perjuangan ialah prinsip.

Perjuangan tanpa prinsip ialah perjuangan yang rapuh dan pasti tidak berkelangsungan.

Perjuangan yang berprinsip ialah perjuangan yang terbit daripada keyakinan moral yang mendalam bahawa apa yang kita perjuangkan itu, dapat kita benar-benar jiwai.

Perjuangan yang berprinsip juga ialah cerminan nilai, pemikiran, keperibadian dan wibawa kita.

Lantas, pemimpin yang berprinsip tidak akan sama sekali berkompromi dengan nilai dan kepercayaannya.

Semakin kita maju, membangun dan terkehadapan, semakin susut kepercayaan bahawa perjuangan dan kepimpinan mestilah berasaskan prinsip.

Kita berhadapan dengan kepercayaan bahawa orang yang berprinsip itu terlalu idealis. Lalu kebanyakan kita mengutamakan politik, bukan prinsip.

Yang kita angkat adalah mereka yang bersekutu dengan kuasa.

Yang kita mempesonakan ialah pangkat, darjat, martabat dan kewangan maha berkuasa. Bukan pemikiran dan keyakinan terhadap sebuah perjuangan.

Kerana itulah UMNO terjerumus ke tahap kerendahan dan kelemahan seperti sekarang.

Dalam UMNO pasca moden ini, prinsip itu tiada pesona dalam amalan politiknya. Yang menjadikan seseorang itu ahli politik berjaya dan berpengaruh, adalah dengan siapa dia mempersekutukan dirinya.

Kerana ukuran kejayaan dalam UMNO selama ini, ialah pengaruh dan wibawa kepada mereka yang berwang dan berharta.

Malah politik wang begitu membarah merupakan sebab yang telah membawa kepada tersungkurnya UMNO dari tampuk pemerintahan negara.

Dan selepas tewas pun, politik wang masih terus menjadi budaya. Sesiapa yang punyai wang, pasti boleh menguasai ahli parti.

Berpuluh tahun saya berjuang di dalam UMNO, sedikit benar saya mendengar kita berbicara tentang ideologi UMNO. Tentang prinsip dan kepercayaan yang menjadi teras parti kita ditubuhkan.

Selama berpuluh tahun juga, saya menyaksikan bahawa pemimpin yang mempunyai pemikiran besar, idea luar biasa, keteguhan keperibadian dan keyakinan yang mendalam terhadap perjuangan, jarang sekali mendapat tempat dalam parti.

Kerana kita terbiasa dengan budaya politik kuasa bukan politik berprinsip.

Justeru itu, saya sangat yakin, usaha kita merawat, memulih dan membangunkan UMNO ini mestilah dengan mengembalikan kepimpinan berprinsip dan bermoral.

Kita mesti kembali ke fitrah, bahawa pemimpin mesti diyakini kerana kebenaran nuraninya, bukan pesona kuasanya.

UMNO akan terus susut tanpa pemimpin berprinsip dan mempunyai wibawa moral yang utuh.

Ia hanya akan kembali pulih, jika kita boleh mencari pemimpin yang percaya bahawa berpegang kepada prinsip adalah perjuangan yang sebenar-benar perjuangan.

Telah tiba masanya kita mencari mereka yang yakin dengan ideologi UMNO yang hakiki. Iaitu memperjuangkan politik pertengahan yang akan membuahkan kebaikan kepada bangsa Melayu dengan sebanyak-banyaknya, tanpa mengabaikan kepentingan rakyat Malaysia yang lain.

Hanya mereka yang percaya dengan prinsip ini, meyakini ideologi ini, dan menjiwai pemikiran ini, akan mampu memberikan kepimpinan berwibawa untuk bangsa Melayu dan Malaysia yang berkemajuan.

Jika ada kudrat, insyallah, inilah sebahagian dari apa yang saya akan ikhtiarkan untuk UMNO yang tenat ini. Mencari dan membangunkan pemimpin baru yang berprinsip dan mempunyai kekuatan rohani dan moral yang unggul.

Tanpa mereka sebegini, bukan sahaja UMNO, malah mana-mana parti politik sekalipun, pasti akan menempuh detik pengakhirannya.

Dato’ Seri Haji Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.