Pilihan Raya PBT : Awasi Percaturan Licik Dap – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Pemuda UMNO menyambut baik ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menolak usaha segelintir anggota kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama dari parti Dap yang mahu mengembalikan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut merasa janggal melihat reaksi pemimpin Dap yang dilihat bermati-matian memperjuangkan isu tersebut seolah-olah mempunyai maksud yang tersirat di sebaliknya.

“Justeru, saya menyokong ketegasan Perdana Menteri mengenai isu ini. Pemuda UMNO tidak mahu usaha-usaha murni pejuang-pejuang negara terdahulu untuk menstabilkan struktur sosio-ekonomi rakyat dipunahkan oleh rancangan jahat Dap yang ingin menguasai pusat kegiatan ekonomi negara sekaligus menyisihkan orang Melayu dan Bumiputera secara sistematik dan terancang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Jelas Dr Asyraf lagi, kali terakhir pilihan raya PBT diadakan adalah pada 1963 sebelum ianya digantung sementara pelaksanaannya pada tahun 1964 sehinggalah Akta Kerajaan Tempatan diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1976 untuk memansuhkan terus pilihan raya PBT dan sekaligus menggunapakai kaedah perlantikan terus Ahli Majlis PBT.

“Malaysia terpaksa mewarisi implikasi daripada usaha kemerdekaannya iaitu kesan dasar ‘Pecah dan Perintah’ yang diamalkan oleh penjajah kolonial British di mana orang Melayu ditempatkan di kampung-kampung dan menjalankan kegiatan ekonomi setempat seperti pekebun dan nelayan, orang Cina di bandar-bandar di mana mereka akan berdagang dan berniaga, dan orang India di ladang-ladang estet.

“Dasar ini membenihkan sikap prejudis antara kaum walaupun sedikit sehinggalah ke hari ini,” ujarnya.

Oleh yang demikian, kerajaan pimpinan UMNO pada ketika itu bersikap proaktif dan menggantung pilihan raya PBT untuk mengelakkan konflik antara kaum menjadi lebih serius, tambah Dr. Asyraf.

“Kemuncaknya apabila tragedi 13 Mei 1969 berlaku, ia menyedarkan negara bahawa satu pelan radikal diperlukan untuk menstruktur kembali landskap sosio-ekonomi negara tanpa mengira kaum iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Melalui dasar asas ini, kerajaan di bawah pimpinan UMNO ketika itu secara perlahan-lahan membawa orang-orang Melayu untuk berpindah ke bandar seperti yang diusahakan Allahyarham Datuk Harun Idris.

“Setelah itu bagi mencipta golongan profesional bumiputera yang boleh bekerja di bandar-bandar, kerajaan memperkasakan Kolej RIDA-MARA sebagai agensi untuk menawarkan pendidikan dan latihan profesional kepada anak-anak muda untuk mereka boleh bersaing dengan sihat,” katanya.

Menurut Dr. Asyraf lagi, kerajaan juga menubuhkan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) pada tahun 1971 untuk membangunkan projek perumahan untuk Bumiputera di bandar khususnya Kuala Lumpur.

“Melalui usaha yang dilakukan, orang Melayu dan Bumiputera mula mendapat pemilikan di samping masyarakat Cina di bandar-bandar. Bukan sahaja sahaja bangunan kediaman, malah pusat-pusat komersil dan bangunan pejabat kini ada yang dimiliki oleh orang Melayu.

“Maka di sinilah orang Melayu harus berwaspada dengan percaturan licik Dap. Sekiranya pilihan raya PBT diadakan semula, mereka amat yakin untuk menguasai PBT-PBT di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru, dan lain-lain tanpa memerlukan wakil orang Melayu!,” tegasnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.