Himpunan Serlah Harapan Umat Untuk Penyatuan UMNO-Pas

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Himpunan Ummah 812 di Dataran Merdeka kelmarin merupakan himpunan terbesar, paling aman dan penuh disiplin yang menghadirkan ratusan ribu umat Islam semenjak merdeka, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelasnya, kehadiran yang begitu besar umat Islam dilihat bukan sahaja berkenaan dengan bantahan ICERD tetapi merupakan manifestasi kebimbangan rakyat terhadap pelbagai tindak tanduk kerajaan hari ini yang mula menghakis kedudukan Islam dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Malah ratusan ribu umat Islam yang sanggup turun beramai-ramai daripada seluruh pelusuk negara dan tiba seawal 2 pagi menyerlahkan harapan mereka agar dua parti terbesar umat Islam di Malaysia iaitu UMNO dan PAS untuk kembali bersatu membentuk gabungan mantap bagi mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan rakyat keseluruhannya sebagaimana ketika pembentukan Barisan Nasional (BN) pada 10 Julai 1974.

“Justeru sudah tiba masanya untuk kepimpinan tertinggi kedua-dua parti politik terbesar yang mewakili Melayu dan Islam khususnya UMNO dan Pas untuk membentuk jawatankuasa bersama bagi memperhalusi segala agenda yang melibatkan kepentingan survival politik Islam dan Melayu,” katanya dalam kenyataan media yang disisrkan menerusi laman facebooknya hari ini.

Katanya, Jawatankuasa ini juga boleh berperanan menangani apa jua isu-isu berbangkit dalam mencari kesefahaman dan membina kerjasama konkrit bagi membentuk gabungan pembangkang yang kuat terutamanya mewakili suara Islam dan Melayu.

“Kerjasama UMNO-PAS juga tidak seharusnya dikhuatirkan parti-parti komponen BN kerana hakikatnya kerjasama ini akan mampu mengukuhkan lagi keduduhan Blok Pembangkang bagi menghadapi Pakatan Harapan menjelang PRU ke-15 akan datang sebagaimana pernah berlaku pada 1974,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.