Saarani Dedah Modus Operandi Aziz Bari

IPOH 7 Dis. – Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad mendakwa gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar yang didalangi oleh exco kerajaan negeri, Dr. Abdul Aziz Bari tidak menjanjikan habuan wang.

Menurutnya, daripada lima wakil rakyat UMNO yang didekati secara bersemuka, dua orang ditawarkan sebagai Exco atau mana-mana jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Saarani berkata, perkara itu dinyatakan dalam dua daripada lima pengakuan bersumpah dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Lubuk Merbau, Dr Jurij Jalaluddin yang turut dipanggil memberikan kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Beliau berkata, kelima-lima pengakuan bersumpah yang dibuat itu mempunyai persamaan dari segi tujuan dengan menyebut dakwaan Abdul Aziz bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menunjukkan prestasi selain Naib Pengerusi DAP Perak itu juga memiliki sokongan daripada 18 wakil DAP, Amanah (4) dan PKR (4), justeru memerlukan empat lagi bagi memperoleh keseluruhan 30 sokongan untuk menjadi Menteri Besar.

“Kelima-lima ADUN ini bertanyakan kepadanya (Abdul Aziz) apa modus operandi beliau untuk naik menjadi Menteri Besar dan menurunkan Menteri Besar sedia ada. Dia jawab, dapat sahaja empat tandatangan empat orang UMNO ini, dia akan bawa lagi tandatangan sokongan (18 DAP, 4 Amanah dan 4 PKR) untuk berjumpa tuanku (Sultan Perak) dengan sokongan orang-orang besar dan berpengaruh dari Putrajaya.

“Jadi, dalam kepercayaan dia, tuanku akan menurunkan Ahmad Faizal dan melantiknya sebagai Menteri Besar,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Perak di sini hari ini selepas turut sama diminta mengesahkan kelima-lima akuan bersumpah tersebut selama lima jam di SPRM Perak semalam.

Dalam pada itu, Saarani berkata, beliau yakin 100 peratus bahawa kesemua 25 wakil rakyat UMNO tidak mengikut rentak dimainkan oleh Abdul Aziz kerana mereka adalah rasional dan perbuatan menyokong tindakan itu jelas salah dan tidak demokratik kerana boleh menggugat politik Perak selain ia dilihat sebagai mengkhianati parti dan pengundi.

Menurut beliau, penyokong-penyokong kerajaan banyak menyalahkan pihaknya seolah-olah menimbulkan kecelaruan, namun katanya, jika Ahmad Faizal sendiri menganggap dakwaan tersebut sebagai cerita bohong, maka terpulang kepadanya kerana beliau tidak mahu Barisan Nasional (BN) dipersalahkan sekiranya peristiwa tahun 2009 berulang akibat ‘tersepak kaki sendiri’.

“Jangan lupa anai-anai, dia duduk dalam batu, tidak duduk di luar, dia makan di dalam. Dalam Pakatan Harapan, sudah ada anai-anai, kalau tidak percaya, terpulang kepada mereka. Jadi, suasana ni tidak menyeronokkan untuk Menteri Besar mentadbir.

“Kalau saya menjadi jurulatih atau pengurus pasukan bola sepak, kalau nampak seorang pemain dapat bola dan sepak gol sendiri, saya akan keluarkannya, gantikan dengan pemain lain. Menteri Besar boleh memecat exco tetapi perlu mengadap dan mendapatkan perkenan tuanku terlebih dahulu. Kalau saya berada di tempatnya, saya akan buat begitu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.