Isu PTPTN : Sekali Lagi U-Turn, Gambaran Kegagalan PH Tunai Janji PRU-14

KUALA LUMPUR, 7 Dis – “Sekali lagi U-turn. Jadi, saya fikir adalah lebih baik Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan pendekatan yang PTPTN laksanakan dahulu diwaktu Kerajaan Barisan Nasional (BN) berkaitan kaedah kutipan balik PTPTN,” kata bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tegasnya semua ini adalah gambaran kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan ketidakcekapan Kerajaan PH mengurus PTPTN.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, di waktu BN pelbagai kaedah dan insentif menarik disediakan oleh PTPTN.

“Kaedah dan pendekatan itu lebih baik dan meyakinkan serta menjaga kepentingan semua kumpulan peminjam berbanding apa yang ingin Kerajaan PH umumkan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Kata beliau, dalilnya ada kerana di waktu BN dahulu kutipan balik adalah RM3.4 Bilion 2016 dan RM3.985 Bilion pada 2017 yang mana kutipan ini telah membantu menurunkan sedikit kebergantungan PTPTN pada Institusi Kewangan bagi menyediakan dana kepada pelajar baru.

“Malah apabila Kerajaan BN mula menfocuskan kepada Skim Simpanan Pendidikan Nasional ( SSPNi ) maka trend mengurangkan kebergantungan rakyat kepada pinjaman sudah mula berlaku dan beralih kepada mengunakan simpanan untuk tujuan pendidikan.

“Maknanya BN telah mewariskan suatu yang baik kepada Kerajaan PH jadi usahlah malu untuk meneruskannya walaupun dulu mereka mengkritik semua perkara ini.

“Berasaskan pengalaman sebagai Pengerusi PTPTN sebelum ini saya sudah menjangkakan bahawa sukar untuk mereka laksanakan Kaedah Potongan Gaji Berjadual ini melainkan Kerajaan PH sanggup menanggung risiko dan bersedia menghadapi kritikan rakyat.”

Ini kerana katanya, di waktu Kerajaan BN dahulu telah pun dikaji semua kaedah dan model sebagaimana yang dilaksanakan di Australia dan New Zealand namun dapatan kajian ianya sukar dilaksanakan di Malaysia.

“Tidak dinafikan bahawa kaedah Potongan Gaji Berjadual ( PGB ) ini memang baik untuk PTPTN kerana memudahkan urusan kutipan balik dan kutipan akan meningkat, namun ia sebaliknya pula akan menekan peminjam, malah kaedah ini tidak bersifat mesra pelanggan sebagaimana amalan PTPTN dizaman BN dahulu.

“Hakikatnya banyak perkara perlu diteliti sebelum ianya dilaksanakan. Diantaranya ialah pendekatan ini memerlukan beberapa pindaan peraturan dan rundingan dengan majikan kerana ia tidak mudah dilaksanakan begitu sahaja.

“Pastinya ada perbezaan jumlah gaji dipotong antara mereka yang terlibat melalui potongan gaji wajib ini dengan mereka yang telah membuat potongan gaji secara sukarela sebelum ini. Ini mewujudkan ketidakadilan, malah ia mewujudkan ketidakadilan kepada pelbagai pihak terlibat.”

Kemudian, jelasnya yang juga Ahli Parlimen Lenggong, jika yang telah membuat potongan gaji sebelum ini disamakan dengan kaedah PGB pasti juga akan menimbulkan ketidakpuashati pemimjam kerana jumlah potongan gaji mereka ada akan bertambah.

“Di waktu BN dahulu potongan gaji atas persetujuan peminjam dan itupun kita adakan rundingan melalui kaedah #bolehbincang. Malah BN dahulu amalkan penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman. Ini semua dengan tujuan menjaga kebajikan peminjam.

“Sayugia dinyatakan waktu saya di PTPTN, kita amalkan Rundingan Meja Bulat sebelum sesuatu dasar baru dikemukakan.”

Katanya, ini membolehkan PTPTN mendapat pandangan pelbagai pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum sesuatu dilaksana.

“Jika laksana dahulu tanpa dapat pandangan awal inilah jadinya. Justeru itu sudah beberapa kali Kerajaan PH membuat U-turn yang mana semua ini adalah gambaran ketidakcekapan pentadbiran.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.