Himpunan 812 Sabtu Ini Adalah Himpunan Rakyat Yang Menolak ICERD, Menuntut Janji

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata himpunan aman yang akan diadakan Sabtu ini adalah himpunan rakyat yang secara tegas menolak ICERD  dan menuntut janji.

Jelasnya himpunan tersebut sangat berbeza dengan BERSIH kerana agendanya ialah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dari dicerobohi, sedangkan BERSIH mahu meruntuhkan kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, BERSIH juga tersirat dengan pelbagai elemen keganasan, pelanggaran arahan polis, dianjur tanpa permit, malahan disertai peserta “bertopeng” yang ada agenda tertentu.

Katanya, himpunan aman Sabtu ini dibuat mengikut prosedur pihak berkuasa iaitu ada surat jemputan rasmi yang ditandatangan penganjur, ada kebenaran pihak berkuasa, malahan lebih 100 peguam disediakan bagi memastikan pesertanya mematuhi perundangan (law abiding citizen).

Jika ada pihak lain yang cuba buat kekacauan atau menganiaya peserta himpunan, barisan peguam diketuai oleh Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Appandi, akan melindungi peserta, katanya dalam program FB Live Diskusi U3.0 Penerangan UMNO. Program itu dimoderatorkan oleh Tun Faisal Ismail Aziz, aktivis media siber.

Tan Sri Annuar berkata, rakyat tidak perlu takut untuk ke Dataran Merdeka Sabtu ini kerana polis ada bersama membantu menjaga keselamatan.

Beliau menyifatkan himpunan ini penting sebagai kebangkitan menentang Malayan Union 2.0, menyamai kebangkitan melawan penjajahan Malayan Union 1946.

Katanya, selama tujuh dekad, Perlembagaan Persekutuan terbukti berjaya menjadi acuan yang mengatur sosio ekonomi dan perpaduan kaum yang baik di Malaysia, sedangkan ICERD yang diratifikasi di sesetengah negara telah gagal menyelesaikan masalah diskriminasi kaum di negara berkenaan.

“Dengan tidak meratifikasi ICERD, adakah kita rugi apa apa? Adakah GDP kita jatuh, adakah perpaduan kita terjejas, adakah kita mundur jika tidak tandatangan ICERD? Malahan, kita berada dalam keadaan lebih baik daripada negara negara yang ratifikasi ICERD.

“ICERD ini umpama penjajahan moden yang mahu menceroboh Perlembagaan. Jadi datanglah dan tunjukkan kita tidak bersetuju .. ramai ramai pakai baju putih ..

“Pada masa yang sama, rakyat yang tertindas akibat kos sara hidup tinggi, yang mahu rumah lebih murah, yang kena tekanan tol mahal, yang nak minyak lebih murah, yang nak sistem pelajaran lebih baik, yang sayangkan agama, datanglah semuanya ke Dataran Merdeka untuk luahkan rasa tak puas hati, ” kata beliau.

Beliau berkata, himpunan ini membawa agenda rakyat, bukan agenda mana-mana parti politik, malahan yang akan berucap kebanyakanya pemimpin NGO.

“Ketua ketua parti politik memang ada satu dua yang berucap tapi pemimpin pelajar, belia, mahasiswa, NGO juga lebih ramai yang akan berucap.

Mereka nak luahkan rasa dukacita kepada kerajaan, dan pada masa sama memberi pandangan membina. Rakyat mahu memberi early warning atau wake up call kepada kerajaan supaya melunaskan janji janji yang belum mereka tunaikan,” kata beliau.

Tan Sri Annuar menafikan tuduhan bahawa himpunan itu berniat mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi di bawah sistem pilihanraya.

“Kita tak boleh jatuhkan kerajaan menggunakan street demonstration (seperti BERSIH) … kita kena berpegang kepada sistem demokrasi .. kena tunggu lima tahun lagi.

“Rakyat menukar kerajaan dalam PRU 14 kerana mereka mahu harga barang yang lebih rendah, peluang kerja lebih banyak, tekanan kos sara hidup yang lebih rendah, sistem cukai yang lebih selesa, harga rumah yang murah ..

“Ini yang rakyat mahu tetapi ini tidak berlaku. Jadi apa yang penting adalah, kerajaan kena penuhi tuntutan janji pilihan raya ini dan jangan pula buat benda lain yang boleh menimbulkan kerosakan negara. Jika kerajaan gagal, berhaklah rakyat menghukum kerajaan lima tahun lagi,” kata beliau. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.