‘Kisah RM4 Bilion’ Jadi Alasan Paling Mudah PH Salahkan BN


KUALA LUMPUR, 4 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan ‘kisah RM4 bilion’ ini sebagai alasan untuk menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan mengisytihar dividen yang rendah untuk Tabung Haji.

Katanya, Tabung Haji di bawah kerajaan PH terpaksa membayar dividen yang sangat rendah tahun ini kerana kerajaan BN telah membayar dividen yang terlebih tinggi untuk tahun-tahun yang lepas.

“Jalan yang paling mudah ialah untuk reka satu cerita untuk menyalahkan BN,” katanya dalam tulisannya di Facebooknya.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan telah memaklumkan ada satu laporan oleh media Singapura yang dimiliki kerajaan Singapura pada Ahad, yang tiba-tiba memetik orang dalam yang tidak dinamakan bahawa Tabung Haji telah kekurangan dana RM4 bilion.

“Tuduhan ini tidak mendakwa RM4 bilion telah dirompak ataupun di curi tetapi mendakwa ada pemalsuan akaun yang membolehkan Tabung Haji untuk membayar dividen yang lebih tinggi dari sepatutnya untuk tahun-tahun yang lalu.

“Pokoknya ialah ia satu tuduhan berat di mana Tabung Haji didakwa terlebih bayar dividen kepada semua pencarum untuk beberapa tahun.

“Berat tuduhan ini. Iaitu membayar dividen yang terlalu tinggi. Alangkah kejamnya TH ini.”

Soalnya, bagaimana agaknya sebuah akhbar Singapura adalah media yang ‘membongkar’ isu ini pada minggu sama himpunan 812 yang dijangka disertai jutaan rakyat bakal diadakan? Siapa yang bercakap dengan akhbar milik kerajaan Singapura itu?

“Bagaimana ini boleh terjadi pada ketika TH telah diaudit dan aset dinilai dengan teliti? Juga, anda perlu tahu bahawa TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan dan pendeposit tidak berada dalam situasi wang mereka akan hilang.

“Saya lebih pelik dengan cadangan-cadangan yang diberi oleh orang dalam tidak bernama ini kepada media milik kerajaan Singapura ini untuk mengatasi masalah RM4 bilion ini.

“Cadangan ini tidak lain dan tidak bukan ialah untuk Tabung Haji mengisytihar dividen yang jauh lebih rendah pada tahun ini untuk mengurangkan “jurang” RM4 bilion ini.”

Ujarnya lagi, semua tahu bahawa pasaran saham dan ekonomi kita berada dalam prestasi buruk sejak PRU14 maka sudah tentu dividen akan lebih rendah untuk tahun ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.