Kepimpinan Kerajaan Baru PH Terus Pinggirkan Masyarakat Luar Bandar


KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, sekiranya pemimpin Pakatan Harapan (PH) terus bersikap syok sendiri dan berasa seolah-olah kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membawa erti yang mereka menguasainya sepenuhnya maka ia adalah satu kesilapan besar.

Jelas beliau, pemimpin PH harus melihat bagaimana rakyat tetap menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah memberikan khidmat terbaik sepanjang mentadbir negara ini maka tidak mustahil PH akan mengalami nasib yang sama sekiranya terus mengamalkan sikap sedemikian.

“Dalam PRU-14, kita telah menyaksikan betapa UMNO dan BN kecundang disingkirkan rakyat. Jadi, pemimpin Malaysia baru ini harus betul-betul memberi komitmen kepada rakyat, menyelami permasalahan rakyat.

“Kalau mereka dapat melakukan yang terbaik pasti rakyat akan gembira tapi sayangnya dalam Bajet pun (2019) mereka diskriminasi rakyat jadi bagaimana rakyat mahu menaruh harapan kepada kerajaan baru ini,” ujar beliau.

Mengupas tajuk ‘Rakyat Di Luar Bandar Dipinggirkan’ Bung Mokhtar berkata, bajet yang dibentangkan oleh kerajaan baru pimpinan PH ini secara nyata meminggirkan masyarakat luar bandar seperti golongan petani, penoreh getah dan nelayan.

“Tidak ada apa-apa untuk mereka dalam bajet. Sebab itu kami dari blok pembangkang bertanya kepada menteri dalam Parlimen. Kita merayu agar golongan ini diberi bantuan… nasib baik Ahli Parlimen Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) senada dalam hal ini dan akhirnya kerajaan beri jaminan untuk pertimbangkan.

“Bulan November dan Disember ini adalah musim tengkujuh dan apa jaminan kerajaan untuk bantu mereka kerana di zaman BN dulu kita beri peruntukan. Kita juga tanya dengan menteri untuk meningkatkan produk mereka dengan baik. Di Sabah contohnya, kilang tidak lagi membeli buah sawit segar… alasan mereka bila sudah proses jadi minyak tidak ada harga.

“Inilah malapetaka yang menimpa bila menteri PH tidak tahu rintihan rakyat kerana kebanyakan menteri mereka dari bandar dan tidak faham masalah luar bandar. Dulu kita jika Kementerian Luar Bandar maka kita pilih menteri dari luar bandar, dengan ini memudahkan menteri untuk menyelaras program luar bandar. Kita faham banyak menteri baru terlalu lama jadi pembangkang maka tidak tahu apa itu buah sawit dan sebagainya… dengan ini terbantutlah program yang diinginkan oleh rakyat,” tegas beliau.

Tambah Bung Mokhtar, masyarakat luar bandar mempunyai sifat yang lemah-lembut dan tidak berhasrat untuk melakukan demonstrasi membantah kerana apa yang mereka harapkan adalah wakil rakyat dapat menyuarakan masalah mereka kepada kerajaan.

“Sebab itu selaku wakil rakyat pembangkang, kita tidak putus-putus lontarkan pandangan kepada kerajaan baru. Sehingga hari ini terus suarakan suara rakyat yang sedang berada dalam keperitan.

“Musim tengkujuh ini sudah pasti mereka akan berhadapan dengan berbagai kesulitan… harga sawit tidak ada… harga getah tiada.. ikan kurang dan ini sudah tentu menjejaskan kehidupan mereka. Jadi kita tidak akan berdiam diri dan akan terus suarakan masalah ini supaya kerajaan pertimbangkan bantuan untuk masyarakat luar bandar.

“Sebab itu saya panggil bajet PH ini orang senang tambah senang… orang susah tambah susah. Inilah gambaran bajet yang PH bentangkan. Masyarakat luar bandar akan terus dihimpit kesusahan. Kita berharap kerajaan sekarang ini akan lakukan yang terbaik. Jangan terus menyalahkan kepimpinan kerajaan yang lalu. Mereka telah dipilih oleh rakyat jadi bekerjalah untuk rakyat dan negara,” jelas Bung Mokhtar lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.