Cadangan MCA Bubar BN Tidak Akan Kukuhkan Sistem Dwiparti Dalam Politik Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Keputusan perwakilan MCA untuk membubarkan Barisan Nasional (BN) adalah sesuatu yang tidak sukar difahami kerana apa jua keputusan mereka adalah sesuatu yang dijangka, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ini kerana katanya, sentimen negatif terhadap BN semakin menebal di kalangan anggota MCA pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Cuma MCA harus lebih tegas dan jelas. Tinggalkan sahaja BN dan bukannya membuat resolusi untuk membubarkan BN. Kenapa saya berpandangan sedemikian? Biar saya jelaskan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, pertama kerana MCA tidak harus mengheret parti komponen lain BN ke dalam polemik dalaman MCA.

“Keputusan untuk membubarkan BN jelas sekali menunjukkan bahawa MCA tidak mahu dilihat meninggalkan BN sendirian.

“Ia mahu keputusan itu dilakukan secara kolektif oleh BN, sebabnya MCA tidak mahu dipersalahkan jika keputusan itu dianggap langkah mundur ke belakang dalam mematangkan demokrasi di Malaysia.

“UMNO, MIC, MyPPP dan PBRS telah menegaskan bahawa BN akan terus menjadi platform yang bukan sahaja mereka pertahankan, tetapi juga perjuangkan.”

Jelasnya, parti-parti komponen ini percaya bahawa sistem dua parti dalam arena politik Malaysia mesti diperkuatkan malah mana mungkin pendirian ini tidak diketahui oleh MCA dan perwakilannya.

“Lantas tiada rasionalnya untuk MCA membawa usul membubarkan BN ke Majlis Tertinggi BN.”

Kedua, katanya, keputusan MCA itu, sangat berdolak-dalih.

“Mereka masih lagi tidak dapat berpisah selamanya dengan BN, kerana itu mereka tidak membuat keputusan keluar dari BN.

“Sebagai parti yang berprinsip, MCA harus lebih ‘decisive’. Keluar sahaja dari BN seperti parti-parti lain yang telah meninggalkan BN tanpa syarat.

“Keputusan sebegini akan memudahkan UMNO dan komponen parti berbaki untuk membangunkan semula BN. Tindakan MCA tidak memudahkan BN untuk ‘move on’. Ia telah menunda proses rejuvenasi BN.”

Untuk ketiga, beliau melihat cadangan MCA untuk menubuhkan ‘coalition’ baru tidak akan banyak bezanya daripada meneruskan BN kerana jika ‘coalition’ baru itu akan di anggotai oleh parti-parti bukan Pakatan Harapan (PH), bukankah itu adalah ‘duplication’ modal BN?

“Jangan lupa, Malaysia ini bukan negara besar yang ada beratus parti politk seperti India dan Indonesia. Akhirnya, kita akan bekerjasama dengan rakan-rakan politik yang sama seperti dahulu juga.

“Kita janganlah berfikir bahawa pembubaran BN akan menyebabkan terhakisnya juga ingatan dan momen penting dari ingatan rakyat terhadap masalah BN terdahulu.

“Rakyat Malaysia akan terus ingat segala kebaikan dan kekurangan, mahupun kesalahan BN terdahulu. Dan mereka juga tahu bahawa jalan sebaiknya adalah BN menghadapi semua kelemahannya dan membaikinya dengan bersungguh-sungguh.”

Tegas beliau, mewujudkan semula ‘a new coaltition’ hanyalah perubahan kosmetik kerana BN memerlukan lebih daripada penjenamaan nama dan logo.

“BN mesti kembali kepada ideologinya. Menjiwai ideologi tersebut seperti sebelumnya dan memulakan langkah berani untu berubah. Seperkara lagi yang ingin saya sentuh adalah tentang kepercayaan saya bahwa formula politik BN bukan masalah dalam pilihan raya lepas.

“BN adalah instrument politik paling berjaya dalam membangunkan Malaysia selama 60 tahun lepas.

“Mana mungkin ada modal yang lebih baik dari BN semenjak ia ditubuhkan. Melalui BN lah kita menjadi negara perdagangan, perindustrian dan negara membangun paling berjaya.”

Tegasnya, MCA jangan lupa, bahawa pada 1957, paradigma BN itulah yang telah membidani kelahiran sebuah negara bernama Malaya.

“Pada ketika itu, di Amerika Syarikat, orang berkulit putih, tidak membenarkan orang berkulit hitam pergi ke sekolah yang sama dengan mereka, mahupun menaiki bas yang sama. Sedangkan UMNO, MCA dan MIC pada ketika itu, telah menjayakan kesepakatan membentuk sebuah negara. Negara Kesepakatan yang berbilang bangsa, berbagai agama dan beragam latarbelakang.

“Dan formula BN itulah juga yang kita gunakan seterusnya untuk membentuk Malaysia. Selama berdekad-dekad, kita mengurus Malaysia itu dengan ‘konsensus’ perkongsian kuasa dengan jayanya.

“Bila BN tewas dalam pilihan raya lepas, bermacam tomahan ke atas BN kita lontarkan, terutamanya daripada MCA. Segalanya buruk, segalanya tidak sempurna, segalanya jelek.”

Ujarnya, BN, pada MCA selepas PRU ke-14 adalah model lapuk, tidak serasi zaman dan ketinggalan.

“Tetapi MCA lupa, melalui kesepakan BNlah, MCA terus mempunyai perwakilan dalam Kerajaan walaupun semenjak beberapa pilihan raya lepas, kalah kerusi yang mereka wakili. Berapa ramai Menteri dari MCA yang dilantik walaupun jumlah kerusi mereka sangat sedikit.

“Dan jangan lupa, berapa banyak kerusi majoriti Melayu yang UMNO serahkan kepada MCA untuk ditandingi atas semangat BN. MCA tidak menang di kawasan bandar kerana ia memang tidak mendapat sokongan Cina bandar.”

Jelasnya, melalui permuafakatan BNlah, MCA mendapat pelbagai jawatan lain selain Menteri Kabinet dan melaluinya juga, ia mendapat Kolej Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

“Saya sangat berterima kasih jika MCA segera meninggalkan BN. Kita tidak boleh punya rakan yang membebankan kita di kala kita berada dalam kedudukan paling susut dalam perjalanan politik kita. Dan tidak mahu memikul tanggungjawab atas kekalahan kita.

“Dalam politik, yang dituntut ialah perjuangan yang bermaruah dan budaya politik yang benar dan baik. Bukan hanya kemenangan. Jika kemenangan sahaja ukuran untuk perjuangan politik, maka itu adalah ‘perdagangan’ dan bukan perjuangan.

“BN bukan bahan dagang. Dalam baik dan lemahnya, BN adalah perjuangan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik. Ia tewas bukan kerana falsafah dan ideologinya tersasar, tetapi kerana pemimpinnya khilaf.”

Tegasnya lagi, MCA gagal memahami ini, maka kepada MCA, tinggalkan saja BN dan biarkan yang lain melalui kepayahan untuk menghidup-hidupi ia.

“Insy-Allah, suatu ketika nanti, akan kami buktikan bahawa MCA salah dalam perhitungannya terhadap BN,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.