Wanita UMNO Bincang ICERD Esok, Pastikan Rakyat Peka Bertentangan Perlembagaan
KUALA LUMPUR, 30 Nov – Wanita UMNO melihat bahawa masyarakat pelbagai peringkat harus peka dan memahami perkembangan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Sehubungan itu, ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad memaklumkan bahawa pergerakan terbabit akan menganjurkan Program Wanita dan Isu Semasa (WISE) yang merupakan penerangan tentang ICERD ini.
Apatah lagi katanya, isu ini melibatkan usaha kerajaan Malaysia untuk menandatangani dan membuat ratifikasi treati ICERD yang telah membangkitkan kemarahan orang Melayu kerana pelbagai peruntukan di bawahnya jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Antaranya, ia dipercayai akan menggugat hak dan keistimewaan Melayu, Bumiputera serta institusi Di-Raja, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu/Bumiputera bahawa kedudukan mereka akan terancam.
“Implikasi perjanjian ICERD amat besar terhadap asas pembinaan negara sejak merdeka. Kesan itu akan mengubah Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian kontrak sosial yang termeterai antara pemimpin Melayu, India dan Cina, ketika menuntut kemerdekaan pada 1957,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, Program WISE ini akan berlangsung esok, Sabtu 1 Disember 2018 di Auditorium Aras 4, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.
“Jemputan pada program yang akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 1 tengahari itu terbuka kepada semua ahli Wanita UMNO, Muslimat Pas, badan-badan bukan kerajaan (NGOs), profesional, pemimpin serta pelajar universiti wanita.”
Katanya, program yang akan dikendalikan oleh moderator Datuk Dr Mashitah Ibrahim itu akan menampilkan ahli panel iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan peguam Adnan Seman.
“Pelobi ICERD sudah lama melobi agar Malaysia meratifikasikan konvensyen antarabangsa ini sejak ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN). Namun ketika itu, BN bersikap tidak melayan desakan untuk menandatangani ICERD, yang dilihat akan mengganggu gugat asas pembinaan dan perlembagaan negara.
“Program WISE ini bukan merupakan program politik sebaliknya adalah program ilmiah yang dapat membantu masyarakat memahami isu ICERD dengan lebih jelas dan mendalam,” katanya lagi. – MediaUMNO