Gerakan Jatuhkan MB Perak… Jangan Hipokrit, Berpura-pura Untuk Nafikan


IPOH 28 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad meminta Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak berpura-pura apabila menafikan wujudnya gerakan untuk menjatuhannya sebagai Menteri Besar.

Menurutnya, kenyataan Ahmad Faizal hari ini bahawa dakwaan tersebut hanya merupakan desas-desus dan tidak benar-benar akan berlaku sebagai berdolak dalik untuk menafikan apa yang sebenarnya berlaku.

“Itu dolak dalik, jangan hipokrit, jangan ada sindrom penafian. Dia (Ahmad Faizal) lebih tahu, kami lebih tahu. Kalau nak kenal siapa Exco yang berkenaan, kita tengok dia tunduk saja, jadi mudah saja nak kesan.

“Saya sedia untuk mendedahkan nama Exco yang mahu menjatuhan Menteri Besar jika kesemua 10 Exco setuju nama mereka yang terlibat didedahkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Walaupun Ahmad Faizal menafikan terdapat Exco kerajaan negeri yang merancangan untuk menjatuhkan beliau, Saarani bertegas bahawa gerakan tersebut benar-benar wujud.

Menurutnya, ini berdasarkan Exco berkenaan sendiri dan wakilnya yang mengadakan perjumpaan dengan wakil rakyat UMNO sebanyak empat kali bagi mendapat sokongan untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal.

“Pada 2 November, ada Exco jumpa ADUN UMNO. Pada 15 November Exco yang sama jumpa satu lagi ADUN UMNO. Pada 23 November Exco yang sama berjumpa lagi ADUN UMNO, maksudnya tiga pertemuan di tempat yang berbeza.

“Kemudian ada satu lagi pertemuan pada 21 November wakil dua Exco berjumpa ADUN UMNO,” katanya.

Secara sinis Saarani mempertikaikan siapa Menteri Besar yang sebenarnya kerana beberapa Exco menyanggah kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Faizal.

Katanya, contohnya dalam isu pemberian hak milik tanah 999 tahun tidak boleh diberikan sebab Kanun Tanah Negara menggariskan hak milik tanah kampung baharu Cina hanya 99 tahun.

“Menteri besar kata tak boleh tapi esoknya Nizar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) kata boleh, begitu juga Aziz Bari kata boleh.

“Menteri Besar umum nak buat lapangan terbang di Behrang atau di Tanjung Malim atau Tapah tapi esoknya Nizar umum tak jadi buat, hanya di Ipoh. Siapa MB ni? Daripada situ pun orang nampak,” katanya. – Utusan Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.