Rakus Kaut Duit Petronas RM82 Bilion, Forex Rugi RM33 Bilion… Itu Tidak Menjahanamkan Negara?


KUALA LUMPUR, 27 Nov – Adakah tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dengan mudah menjarah wang RM82 bilion dari Petronas untuk tahun ini dan tahun hadapan tidak menjahanamkan negara?

Begitu juga dengan skandal perdagangan mata wang asing (forex) berjumlah RM33 bilion yang hilang begitu sahaja tanpa sebarang aset atau pulangan pada ketika saiz ekonomi negara hanya RM180 bilion ketika di bawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjahanamkan negara?

Kedua-dua persoalan tersebut ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang bersikap ‘tai-chi’ kepada soalan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee mengenai pengaliran keluar dana haram, tetapi mengalihkan jawapan kepada isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun 1MDB tiada kaitan langsung dengan pengaliran keluar dana haram melalui kaedah ‘trade mispricing’.

“Beginikah taraf menteri yang anda mahukan? Bagi kerajaan PH, semua ialah salah 1MDB dan 1MDB telah menjahanamkan negara.

“1MDB ada aset-aset berpuluh bilion dan juga ada perjanjian penyelesaian dengan IPIC untuk mendapat kembali setiap sen wang yang didakwa hilang.

“1MDB juga telah menyelesaikan masalah legasi perjanjian berat sebelah Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang menguntungkan negara sebanyak RM400 bilion untuk tempoh 20 tahun, serta membina lapan pangkalan tentera untuk negara dan ada projek TRX yang Guan Eng sendiri pernah akui akan mendapat keuntungan. Ada lagi projek Bandar Malaysia yang bernilai sekurang-kurangnya RM20 bilion,” bidas Najib di dalam facebooknya.

Berhubung dengan isu pengaliran keluar dana haram dari Malaysia, Najib dengan tegas berpendirian bahawa ia adalah satu masalah yang amat besar dan perlu kerajaan tangani.

“Dua bulan dahulu, saya pernah menjelaskan bahawa pengaliran keluar dana haram berjumlah RM1.8 trilion dibawa keluar dari Malaysia dari 2004 hingga 2014. Mengikut laporan GFI (Global Financial Integrity), pada tahun 2014, dana sebanyak US$44.3 bilion (RM186 bilion) mungkin telah mengalir keluar dari Malaysia secara haram.

“Kebanyakan pengaliran keluar dana haram dilakukan oleh syarikat-syarikat di Malaysia dengan cara melakukan perbezaan pemindahan harga tidak betul (transfer mispricing) berikutan perbezaan kadar cukai antara negara.

“Saya juga menjelaskan bagaimana GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang dilaksanakan pada tahun 2015 mengambil peranan yang penting untuk mencegah masalah ini,” ujarnya lagi.

Kini tanpa GST untuk memantau dan mencegah masalah tersebut, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sekali lagi menimbulkan persoalan kepada Setiausaha Agung Dap itu apakah tindakan kerajaan PH untuk mencegah syarikat-syarikat di negara ini dari terus memindah keluar beratus bilion setiap tahun ke negara jiran.

“Jawab betul-betul. Ini bukan taman permainan. Ini sebuah kerajaan bagi sebuah negara,” tegasnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.