Himpunan Ummah 8 Dis Ini Tetap Diteruskan… Sukar Percaya Janji Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Penasihat Undang-Undang Himpunan Ummah, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata pihaknya akan tetap turun membantah ICERD pada 8 Disember depan walaupun semalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan untuk tidak meratifikasikan perkara berkenaan.

Ini kerana menurut beliau janji-janji di dalam manifesto dahulu bukan sahaja tidak dapat ditunaikan malah mereka turut menyatakan manifesto bukan ‘kitab suci’.

“PH ini dalam manifesto PRU-14 menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi yang terpedaya untuk mengundi mereka.

“Apabila kesemua janji tersebut gagal di tunaikan, mereka mempersendakan rakyat dengan menyatakan manifesto kami dulu bukan kitab suci dan PM dengan selambanya menyatakan bahawa kita buat manifesto dulu tanpa mengetahui kita boleh menang.

“Maka seluruh rakyat Malaysia ditipu (di kencing) begitu saja. Hari ini Kerajaan PH  menjanjikan untuk tidak meraktifikasi ICERD.

“Maka penyokong mereka akan meroyan mempersendakan rancangan himpunan mega bantah ICERD 8 Disember 2018 ini dengan menuduh perhimpunan ini membuang masa kerana kerajaan PH telah berjanji untuk tidak meratifikasikannya,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menambah tidak wujud Kerajaan PH di Malaysia dan yang wujud hanyalah Kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan hari ini dibentuk oleh ahli-ahli Parlimen dari parti-parti yang bergabung membentuk PH.

“Apabila mereka mengangkat sumpah jawatan, mereka tidak lagi boleh memakai baju PH tetapi perlu memakai baju Menteri Kabinet Malaysia yang dibayar gaji dan elaun bulanan menggunakan duit pembayar cukai SST,” ujarnya lagi. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.