Polemik ICERD: Kerajaan PH Jangan Sesekali ‘Bermain Api’ Dengan Rakyat – Suraya


ALOR SETAR, 23 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Suraya Yaacob meragui kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy kononnya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan memberi kesan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, jaminan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menjaga portfolio perpaduan kaum itu dilihat tidak lebih sekadar memujuk.

“Walau tidak disentuh sekalipun Perkara 153 itu, namun bagi menjamin ‘kesamarataan hak’ bagi memenuhi ‘hak asasi manusia’ ala PH, Kak Su menyatakan kebimbangan jika wujud ‘Perkara Baharu’ dalam Perlembagaan yang akan memberikan hak dan keistimewaan yang sama dengan Bumiputera kepada bukan Bumiputera.

“Bukankah kesamarataan hak itu menjadi motif utama ICERD? Justeru itu, Kak Su ingin sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia langsung tidak memerlukan ratifikasi ICERD,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Pendang yang mesra dipanggil Kak Su itu lagi, sejak Perlembagaan Persekutuan dibentuk pada 1948, negara sudah pun memiliki acuan sendiri dan terbukti tidak pernah mendiskriminasi mana-mana kaum dan lain-lain agama.

Sebagai rekod, di dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, terkandung dalam dokumen hitam putih tersebut janji-janji mereka untuk menyegerakan usaha meratifikasikan beberapa konvensyen-konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi manusia.

Jelas Suraya lagi, polemik ratifikasi ICERD yang ditimbulkan oleh kerajaan PH telah membangkit kebimbangan serta kemarahan rakyat tetapi pemimpin kerajaan masih bersikap dolak-dalih.

“Mungkin menyedari kemarahan rakyat itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataannya di luar negara menyatakan ‘agak mustahil’ untuk Malaysia meratifikasi ICERD kerana memerlukan pindaan Perlembagaan Negara. Namun begitu, ucapan beliau di United Nation General Assembly (UNGA) telah berikrar untuk Malaysia mengiktiraf baki instrumen PBB yang berkaitan hak asasi manusia. Perlu juga diingat bahawa kenyataan Tun Mahathir telah diangkat sebagai kenyataan Dasar Luar Negara untuk Malaysia Baharu.

“Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah ketika menggulung Rang Undang-Undang Pembekalan 2019 di Parlimen menyatakan bahawa keputusan isu meratifikasi ICERD akan dibuat oleh Kabinet Kerajaan PH.

“Untuk memujuk, beliau berkata semua pandangan rakyat termasuk pihak pembangkang akan diambil kira dalam proses pembuatan keputusan itu,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang itu.

Suraya juga menjangkakan Tun Mahathir akan bersikap mengambil ‘jalan selamat’ dengan menangguhkan usaha tersebut kerana untuk menolaknya adalah sesuatu yang bersifat mustahil disebabkan bilangan kerusi parti yang dinaungi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tersangat kecil; 14 kerusi berbanding Dap (42) dan PKR (50) yang mendominasi PH.

“Tindakan kerajaan menangguhkan ratifikasi ICERD tidak akan mampu meredakan kemarahan orang Melayu dan Bumiputera. Malah ia akan memanjangkan lagi tempoh kemarahan rakyat terhadap pihak kerajaan.

“Ia bukan satu jaminan untuk kerajaan PH tidak lagi ‘mengusik’ sensitiviti hak dan keistimewaan bangsa Melayu serta Bumiputera. Bahkan ia hanya mencipta kebimbangan berterusan di hati kita.

“Usahlah kerana mahu menjaga undi bukan Bumiputera, kerajaan PH mahu jual maruah bangsa Melayu, Bumiputera dan Perlembagaan Negara. Jangan sesekali jadi pengkhianat Islam, Nusa dan Bangsa!,” tegasnya.

Justeru itu katanya, pada 8 Disember nanti, rakyat Malaysia akan berhimpun secara aman mengejutkan kerajaan supaya jangan sesekali bermain api kerana sudah pasti rakyat bangkit membantah serta menolak ICERD pencetus onar dan durja. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.