Kebajikan Rakyat, Keamanan Negara Lebih Penting Dari Penuhi Agenda Pihak Luar – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 23 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru kepada semua rakyat pelbagai kaum untuk sama-sama menghormati amalan dan pegangan keagamaan yang telah termaktub dalam perlembagaan dan kontrak sosial.

Menurutnya, perkara tersebut telah menjadi asas kepada kemakmuran negara sejak merdeka dan tidak perlu dirobeknya.

“Jangan kita membakar api perkauman hasil dari hasutan pihak-pihak yang cuba untuk menghancurkan Malaysia dan formula politik tolak-ansur yang kita amalkan selama ini.

“Selama ini tanpa ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pun Malaysia terus dipandang tinggi oleh dunia luar dan keharmonian kaum terus terjaga. Namun dengan ratifikasikan ICERD, keharmonian kaum yang dinikmati selama ini pasti akan terjejas teruk.

“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya cuma memuaskan kehendak dunia tetapi yang lebih penting ialah menjaga kebajikan rakyat dan keamanan negara,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Polemik mengenai ICERD timbul apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang untuk meratifikasikannya dan secara tidak langsung mencetuskan gelombang bantahan aman dari pelbagai golongan dan lapisan masyarakat.

Pada hujung minggu lalu, hampir 50 ribu rakyat tanpa mengira fahaman politik berhimpun di Pasir Salak dalam Perhimpunan Perpaduan Ummah bagi menyatakan bantahan ratifikasi ICERD, yang turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Haji Awang selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kemuncaknya himpunan bantahan secara besar-besaran pada 8 Disember nanti di ibu kota.

Pengamal undang-undang, agamawan malahan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad juga dengan tegas berpendirian ICERD melanggar Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 153.

Jelas Ismail, selama ini orang Islam di sini amat menghormati rakan-rakan berlainan agama dan budaya tetapi hari ini terdapat segelintir pihak yang kerap mencabar kesabaran mereka.

“Kenapa sehingga hari ini kerap soal budaya dan amalan agama Islam terus-menerus mempertikaikan semua ini sehingga bab khatan pun dijadikan isu dan perbincangan terbuka.”

Ismail melihat senario terdapat beberapa pihak terlalu mencampuri kesucian agama Islam dan mempertikaikan hak-hak Bumiputera timbul selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila PH yang didominasi Dap memenangi pilihan raya.

“Dap mula membuka topeng mereka yang sebenar. Sifat anti-Melayu makin mereka terjemahkan. Apakah orang Melayu masih tidak nampak kerakusan mereka setelah mereka memiliki kuasa?

“Isu-isu sensitif sudah tidak lagi menjadi sensitif. Perkara-perkara yang tidak pernah dibincangkan secara terbuka sudah mula mereka berani menjadikan agenda terbuka dan mempertikaikan tanpa lagi menghormati hak-hak sensitiviti orang Melayu.

“Rasa hormat kepada kaum majoriti sudah hilang kerana kuasa di tangan mereka. Kerajaan yang ada adalah ‘proxy’ mereka semata-mata atau hanya boneka yang sedang dicucuk hidungnya oleh Dap,” ujarnya lagi.

Maka, oleh kerana itulah timbulnya idea untuk meratifikasikan ICERD, jelas Ahli Parlimen Bera itu.

“Teori yang menyatakan ICERD merupakan agenda Dap jelas kerana sepanjang pemerintahan Tun Mahathir selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri Keempat tidak pernah membincangkan soal mahu meratifikasikan ICERD. Kenapa sekarang?,” soalnya.

Sebagai rekod, di dalam manifesto PRU-14 PH lalu, terkandung dalam dokumen hitam putih tersebut janji-janji mereka untuk menyegerakan usaha meratifikasikan beberapa konvensyen-konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi manusia.

Petang tadi, kerajaan dilihat tunduk atas desakan rakyat apabila membuat kenyataan media melalui Pejabat Perdana Menteri bahawa PH tidak akan meratifikasikan ICERD. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.