Perbuatan Sebar Agama Lain Selain Islam Satu Kesalahan


KUANTAN, 22 Nov – Tindakan biadap beberapa individu yang dikesan menyebarkan Bible di tempat awam termasuk penganut Islam dan pelajar sekolah merupakan satu kesalahan dan perlu dibanteras.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata pemimpin di negara ini perlu memandang serius tentang perkara itu dan perlu tegas dalam menyatakan pendirian tentang kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Tiada kompromi lagi… ini bukan masa untuk main tarik tali atau selamatkan diri demi kelangsungan politik masing-masing. Islam bukan politik, dan ia tidak seharusnya ‘diusik’.

“Penganut agama lain yang seharusnya bersyukur kerana diberi peluang mengamalkan agama mereka secara harmoni di negara ini,” tegasnya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, agama Islam merupakan agama Persekutuan dan namun tidak pernah ada paksaan untuk orang bukan Islam di negara ini memeluk agama syumul ini.

“Selama ini kita hidup dengan aman di dalam negara berasaskan Islam. Mengapa sekarang ini perlu ada kekacauan dan bangsa lain kini semakin berani menyentuh hak serta undang-undang berkaitan Islam.

“Kita hidup secara bersatu padu dan keharmonian yang wujud sejak dahulu akan kekal, jika sifat hormat menghormati antara satu sama lain berlangsung seperti biasa, tanpa ada sebarang campur tangan mengenai kelangsungan agama Islam di negara ini,” katanya.

Malam Ahad lalu, empat warga Finland ditahan selepas pihak berkuasa selepas menerima laporan mengenai kegiatan menyebarkan Bible kepada orang ramai di jalan Pantai Chenang, Langkawi.

Mereka disiasat di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni atau memudaratkan, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara antara dua dan lima tahun.

Semua suspek juga ditahan reman bagi siasatan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, kerana melanggar syarat imigresen yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Awal bulan lalu, masyarakat Islam turut digemparkan dengan tindakan sekumpulan individu yang mengedarkan Bible berhadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.