Pemimpin Melayu PH ‘Bacul’ Nyatakan Konsensus Isu ICERD

JOHOR BAHRU, 22 Nov – Usaha untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) terus ditentang sekeras-kerasnya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Md Shah menegaskan bahawa UMNO dan Pergerakan Pemuda jelas menyatakan pendirian dalam isu ini.

“Rakyat harus faham, pendirian UMNO terhadap isu ini bukanlah hanya mahu menyemarakkan sentimen perkauman sehingga kita membenci antara satu sama lain.

“Asas perjuangan parti keramat ini membela nasib agama Islam dan Melayu di bumi bertuah ini, siapa lagi mahu menegakkan nasib Islam dan Melayu jika asas perjuangan ini diendahkan pendokong UMNO sendiri,” katanya.

Namun, katanya, yang menjadi persoalan pada hari ini mengapa ramai pemimpin Melayu Islam dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak mencapai konsensus dalam menyatakan pendirian mengenai ICERD.

“Parti Amanah Negara dalam satu kenyataan menolak, Angkatan Muda Keadilan pula menerima, Parti Pribumi Bersatu yang mengangkat nama ‘pribumi’ kononnya juga masih tiada kata sepakat berhubung ICERD.

“Pemimpin Melayu Islam dalam PH sendiri tidak mampu menyuarakan pendirian tetap dalam isu membela nasib Islam dan Melayu itu sendiri, adakah sampai ke tahap sudah diiktiraf dan dilaksanakan baru hendak terngadah?

“Janganlah mengaburi mata rakyat dengan alasan kepelbagaian pendapat ini adalah sebagai meraikan demokrasi dalam Malaysia, sedangkan dibelakang tabir, pertelingkahan dan ketidaksefahaman terus berlaku dan disembunyikan.”

Sehubungan itu, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Johor mencabar setiap pemimpin Islam dan Melayu dalam parti komponen PH menyatakan pendirian kukuh dan jaminan mereka berhubung isu ICERD.

“Kami Pergerakan Pemuda UMNO Johor juga berbesar hati untuk melihat Perdana Menteri melucutkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang gagal membentuk dan menjaga perpaduan negara yang sudah lama dikecapi semua kaum.

“Buktinya juga, petisyen yang dianjurkan sebuah NGO terhadap beliau juga sudah menjangkau lebih 100,000 tandatangan bagi menteri itu meletak jawatan.”

Dalam masa yang sama, beliau juga menyeru semua Rakyat Malaysia agar bersama- sama dalam Himpunan Aman pada 8 Disember ini di Dataran Merdeka, menyatakan pendirian Malaysia sekeras-kerasnya menolak Ratifikasi ICERD ini.

“Tidak Ada guna sudah Jika Negara Tergadai Baru mahu berhimpun dan menangis.

“Janganlah kerana kuasa dan pangkat, isu membabitkan masa depan dan boleh merosakkan Perlembagaan Persekutuan ini dipandang enteng, mungkin hari ini impaknya tidak kelihatan, tetapi apa nasib generasi akan datang di negara ini,” tegasnya lagi . – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.