Bajet 2019 : Negeri Johor Mesti Fokus Keperluan Rakyat Bukan Ghairah Penukaran Nama Sahaja


JOHOR BAHRU, 21 Nov – Naib Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta Kerajaan Negeri untuk fokus kepada usaha yang mesti diberikan perhatian iaitu dua perkara utama melibatkan keperluan memperkasa ekonomi dan rekayasa sosial dan masalah air menjelangnya Belanjawan Negeri Johor 2019.

Katanya, berhentilah memberi fokus kepada proses penukaran nama sahaja kepada semua inisiatif berjaya yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Ia bukan sahaja membazirkan sumber, masa dan tenaga tetapi tidak memberi nilai tambah yang sebenar kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, beliau mempunyai dua perkara yang ingin diketengahkan iaitu pertama, keperluan memperkasa ekonomi dan rekayasa sosial berdasarkan instrumen ekonomi Islam, khususnya wakaf.

“Wakaf adalah satu instrumen yang sangat penting, malah semakin sinonim dengan ekonomi serta pemerkasaan sosial Johor.

“Sudah banyak projek serta inisiatif yang dijayakan di Johor menggunakan instrumen wakaf, misalnya, Larkin Sentral iaitu kompleks stesen bas moden Johor yang mempunyai wajah dan kecekapan yang sama sekali berbeza dan jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

“Wakaf mempunyai potensi besar yang mesti dioptimumkan dan banyak tanah wakaf di seluruh Johor yang masih tidak dibangunkan dengan selayaknya, malah, institusi-institusi yang terlibat dengan wakaf, belum cukup radikal, inovatif dan mantap dalam mempromosi serta menjayakan agenda wakaf di Johor. Kesemua institusi terlibat mesti diperkasa, diberi kuasa dan dimantapkan agar agenda wakaf Johor akan berjalan lancar dan berkesan.”

Atas dasar tersebut, katanya, semasa pembentangan Bajet 2018 pada November tahun lalu serta dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Johor menjelang PRU-14, wakaf menjadi antara perkara utama yang saya tekankan.

“Malah, penekanan terhadap instrumen wakaf ini diletakkan sebagai salah satu agenda kritikal yang akan difokuskan.

“Saya percaya Kerajaan Negeri Johor hari ini mesti mempamerkan komitmen yang lebih baik untuk terus memperkembang dan mengukuhkan wakaf sebagai instrumen membangunkan kesejahteraan di Johor.

“Institusi-institusi yang terlibat dengan wakaf Johor mesti menerima sokongan dan galakan yang serius dan besar dari Kerajaan Negeri. Bukannya diganggu atau dilemahkan. Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mesti menunjukkan kesungguhan ini,” tegasnya.

Yang kedua pula katanya ialah isu air.

“Johor berhadapan dengan masalah air yang berterusan. Masalah ini hadir dalam dua bentuk. Pertama, masalah bekalan dan perkhidmatan yang sering terganggu. Kedua, caj atau tarif air yang sangat mahal.

“Saya sudah kerap kali menegaskan keperluan dan kewajaran untuk Kerajaan Negeri Johor mengambil alih Syarikat Air Johor-Ranhill (SAJ-Ranhill). Bukan sahaja Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dengan rizab kira-kira 4 bilion. Tetapi, kelebihan yang akan diperolehi sangat besar. Ia akan meningkatkan kecekapan pengurusan dan agihan bekalan serta merendahkan tarif dan caj air.

“Adalah amat merugikan jika rizab negeri yang besar ini tidak digunakan untuk manfaat rakyat Johor sendiri.”

Malangnya, bidas beliau, Kerajaan Negeri dengan terburu-buru bukan sahaja telah menolak saranan ini, tetapi tampil dengan idea drastik dan melulu untuk menubuhkan pula syarikat air Johor yang baharu.

“Lebih menyedihkan, sehingga kini kita belum dengar apakah status dan perkembangan terkini berhubung idea ini. Atau adakah ia hanyalah satu pengumuman yang dibuat secara semberono tanpa sedikit pun keseriusan untuk melaksanakannya?

Justeru, katanya, dalam Bajet 2019 nanti, Menteri Besar Johor bertanggungjawab untuk membentangkan pelan dan strategi beliau untuk mengatasi masalah air Johor.

“Adalah beliau akan meneruskan cadangan membuka syarikat air Johor yang baharu? Sudahkah syarikat yang akan dibuka ini mempunyai apa-apa kepakaran, infrastruktur dan dana buat masa kini?

“Ringkasnya, Menteri Besar Johor mesti mempamerkan keupayaan untuk mengemukakan solusi kepada masalah air dan memaksimumkan potensi wakaf Johor.

“Saya sangat berharap yang kedua-dua isu ini tidak dipolitikkan oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Johor.”

Katanya lagi, semoga saranan ini diterima dengan terbuka, profesional dan matang kerana ia adalah isu penting yang melibatkan kepentingan rakyat Johor secara langsung. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.