Waytha Moorthy Terus Dibidas… Rasis dan Cuba Putar Belit Kenyataan

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Menteri di Jabatan Perdana, Senator P. Waytha Moorthy dibidas di Parlimen lantaran kenyataan putar belit dan tuduhan kerajaan terdahulu melakukan diskriminasi terutamanya terhadap kaum India.

Sehubungan itu, barisan ahli Parlimen pembangkang telah tampil mempertikaikan kenyataannya dan menggelar Waytha Moorthy sebagai rasis.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar telah bangun memohon penjelasan menteri itu tentang videonya yang tersebar dalam media sosial ketika ini.

“Saya nak tanya kenapa di luar negara Yang Berhormat cakap lain, dalam dewan Yang Berhormat cakap lain,” soal Noh.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican turut membidas kenyataan Waytha Moorthy yang tidak menjawab soalan.

“Yang Berhormat cuba putar-belit banyak perkara. Artikel tadi tentang Artikel 1 (4) dalam 153 tak dijawab.

“Saya nak tanya betul-betul, kenapa di luar negara Yang Berhormat kata lain… kata runtuh kuil paksa masuk Islam dan sebagainya sedangkan di dalam Dewan ini Yang Berhormat cakap tak ada diskriminasi.

“Janganlah cakap lain… waktu di luar Yang Berhormat menghina negara ini, menghina Islam kemudian dalam Dewan ini nak jadi hero pula,” bidasnya.

Dalam video temu bual yang dikatakan dirakam 10 tahun lalu, Waytha Moorthy memburuk-burukkan Malaysia yang mana menjadi bukti bahawa pernah berbuat fitnah dan memalukan negara ini.

Waytha Moorthy yang menggulung Belanjawan 2019 turut diminta penjelasan berkaitan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Dalam sesi tersebut, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff terpaksa menutup sistem pembesar suara untuk meredakan keadaan, namun Waytha Moorthy terus diasak sehingga terduduk.

Sesi itu telah menyebabkan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bangun sekali gus mengusulkan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjawab soalan berkaitan ICERD.

“Yang Dipertua, saya fikir jawapan yang diberikan oleh menteri merupakan polemik dalam dewan. Saya fikir beliau tidak layak untuk menjawab dan Perdana Menteri harus menjawab soalan yang dikemukakan,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.