ICERD : Kerajaan PH Mengelirukan, Pendirian Menteri Dan PM Tidak Selari


KUALA LUMPUR, 19 Nov – Kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri (PM) sewaktu Konvensyen APEC di Papua New Guinea semalam bahawa adalah hampir mustahil untuk Kerajaan menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tanpa ada pindaan Perlembagaan Persekutuan bertentangan dengan pendirian menterinya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said melihat kekeliruan berhubung pendirian sebenar Kerajaan PH mengenai perkara ini.

Katanya, kenyataan ini dilihat seolah-olah bertentangan dengan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berhubung isu tersebut bahawa ICERD boleh diratifikasikan dengan pengecualian tanpa perlu ada Pindaan Perlembagaan.

“Persoalannya adakah semua yang disebut oleh YB Menteri selama ini hanyalah pendapat peribadi tanpa ada persetujuan Kabinet?”

Tegasnya yang juga Ketua Unit Undang-Undang UMNO, selaku Menteri yang menjaga perpaduan Waytha Moorthy seharusnya peka dan lebih sensitif dalam isu ini dan pendapat peribadi tidak seharusnya diguna pakai dalam hal-hal nasional.

“Isu ini dilihat telah mendatangkan rasa tidak senang terhadap rakyat Malaysia apatah lagi tersebar klip video YB Menteri yang membuat Kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.”

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menggesa Waytha Moorthy menarik semula semua kenyataan beliau yang berbaur perkauman yang telah mengguris hati rakyat dan minta maaf kepada rakyat Malaysia.

“Langkah ini adalah perlu sebagai tanda tanggungjawab beliau selaku Menteri yang dipertangungjawabkan menjaga perpaduan di negara ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.