Langkah Mayat Orang UMNO Dulu Jika Kerajaan Mahu Ratifikasikan ICERD – Ahmad Zahid


KUANTAN, 17 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, langkah mayat orang UMNO dulu sebelum kerajaan mahu melaksanakan agenda kesamarataan yang akan menidakkan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan seperti agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan melalui ICERD.

Ahmad Zahid sebelum itu juga turut membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy bahawa kononnya apa yang termaktub di dalam Perlembagaan, Perkara 153 tidak akan terusik sekiranya ICERD diratifikasikan, sedangkan hakikatnya ia tidak begitu.

“Jika konvensyen ini diratifikasikan oleh kerajaan, kemudiannya diadakan undi bagi menyokong ratifikasi ini untuk dilaksanakan, maka apa juga perkara yang termaktub di dalam Perkara 153 itu boleh terhapus.

“Kita tidak reda dan kita tidak rela agama Islam itu diketepikan dan disamaratakan dengan agama-agama lain. Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan itu tidak boleh dikompromi. Kita mesti mempertahan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kita juga tidak rela hak istimewa orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan dihapuskan sekiranya kerajaan bersetuju untuk merastifikasikan ICERD ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dihadapan kepimpinan dan ahli akar umbi UMNO Pahang di Yayasan Pahang dalam program Jelajah Presiden di sini, hari ini.

Jelas Zahid, perjuangan menentang ratifikasi ICERD ini bukanlah hanya perjuangan parti-parti politik sahaja, tetapi ia adalah perjuangan bagi umat Melayu dan umat Islam yang ada di negara ini secara keseluruhannya.

“Empat perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan itu haruslah dihormati kerana ia adalah perjanjian yang termeterai melalui kontrak sosial yang berlaku di antara pemimpin kaum Cina, India dan pemimpin Melayu ketika perundingan kemerdekaan negara.

“Disebabkan persetujuan itulah, maka pemimpin Melayu bersetuju dengan cadangan British untuk memberikan kerakyatan jus soli kepada kaum Cina dan India di negara ini yang pada awalnya telah ditolak secara mentah-mentah oleh pemimpin dan orang Melayu secara keseluruhannya.

“Malam ini, saya akan bersama-sama satu pentas bersama Presiden Pas di Pasir Salak dalam program Himpunan Ummah sebagai manifestasi bantahan kita terhadap ratifikasi ICERD ini. Kita, UMNO dan orang-orang Melayu secara keseluruhannya di negara ini menolak sekeras-kerasnya,” ujarnya.

Tegasnya lagi, apa yang termaktub di dalam Perlembagaan yang sedia ada itu berhubungan agama Islam, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan haruslah dihormati oleh seluruh rakyat di negara ini.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.