Menteri Pertahanan Ditempelak Tidak Berpijak Di Bumi Nyata


KUALA LUMPUR, 15 Nov – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menempelak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kerana mengeluarkan kenyataan tanpa berpijak di bumi nyata.

Jelas beliau, Mat Sabu berkata Kementerian Pertahanan bakal membeli aset sedangkan peruntukan untuk kementerian tersebut telah dikurangkan.

“Saya nak sentuh berhubung-kait bajet Kementerian Pertahanan (MinDef) di mana Menteri Pertahanan telah menyatakan dia nak beli UAB, MPA (maritime patrol aircraft), nak beli FIT interceptors tapi peruntukan MinDef telah dikurangkan RM2 bilion.

“Jadi, kalau dulu pun kita tidak mampu membeli aset-aset sebegini, bagaimana dia nak menyakinkan pada orang ramai bahawa aset-aset yang dia nak beli ini dapat dipenuhi dengan peruntukan yang dibentangkan dalam Dewan,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Selain itu Hishammuddin turut mempertikaikan janji Mat Sabu untuk memastikan penyelenggaraan semua aset ketenteraan berjalan seperti biasa sedangkan peruntukan telah dikurangkan 84 peratus.

“Dalam konteks penyelenggaraan pula, Menteri Pertahanan telah menyatakan bahawa mereka akan pastikan penyelenggaran aset-aset kita seperti biasa tetapi bila saya kaji bajet kali ini, apa yang diperuntukkan untuk penyelenggaran telah dikurangkan 84 peratus.

“Jadi bagaimana nak pastikan aset kita ini dan kita boleh pegang kepada apa yang Menteri Pertahanan nyatakan?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong.

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan kebimbangan berkaitan hubungan diplomasi asing walaupun Mat Sabu menyatakan bahawa ia akan diteruskan.

“Beliau maklumkan baru balik dari China dan Indonesia, tapi saya tak nampak hala tuju MinDef sekarang ini berhubung dengan China dan lebih-lebih lagi hubungan trilateral antara Indonesia-Malaysia-Filipina yang nak menangani keganasan di Selatan Mindanao. Ruang udara dan laut… saya tak nampak… dan perjumpaan dengan Bapak Ryamizard (Ryamizard Ryacudu) pun tidak ada menyebut dengan hubungan trilateral yang wujud.

“Jadi saya bimbang dengan apa yang dinyatakan, dengan fakta dan realiti, dengan ketelusan dan ‘transparency’ dalam bajet kali ini, kerana saya tak tengok pecahan dari segi perkhidmatan, tentera laut, udara dan darat. Saya tak nampak kenyataan dari kementerian tentang aset dapat digandakan dengan peruntukan sedia ada.

“Saya tak nampak penyelenggaraan yang disebutkan akan dipertahankan, dapat diimbangi dengan keutamaan-keutamaan lain di MinDef jadi hala tuju agenda tak jelas dan sejauh mana manifesto yang nak tunjukkan ketulusannya dalam apa yang mereka bawa kali ini.”

Tegas beliau, nampaknya tidak ada persamaan antara apa yang mereka perkatakan dengan apa yang dibentangkan dan hari ini dengan apa yang mereka katakan di Parlimen.

“Jika dia kata dalam proses untuk mendapatkan aset jadi dari mana duit itu datang? Jika dia masih berkata akan mengekalkan aset tapi kenapa terdapat penurunan dalam perkara ini?”

Dilaporkan, menerusi Bajet 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Bajet 2018 sebelum ini telah memperuntukkan lebih RM17 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan difahamkan kira-kira RM8 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.