Jika Berlaku Rombakan Kabinet, Beri Tafsiran Menteri Gagal Laksanakan Tugas – Najib


KUALA LUMPUR, 14 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekiranya berlaku rombakan kabinet dalam masa yang terdekat, ia boleh membawa kepada tafsiran seolah-olah menteri-menteri yang dilantik di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini tidak berwibawa dan tidak menjalankan tugas mereka seperti mana yang diharapkan.

Menurut beliau, selalunya rombakan kabinet hanya akan berlaku dalam tempoh setahun setengah selepas pilihan raya, namun jika rombakan kabinet berlaku di dalam masa yang terdekat ini, ia adalah diluar kelaziman.

“Selalunya rombakan kabinet berlaku dalam masa yang lama sedikitlah, kira-kira dalam setahun setengah selepas pilihan raya, baru ada rombakan kabinet,”

“Tapi kalau berlaku dalam sehari dua ini, bererti bahawa ada satu keputusan yang tidak mengikut kelaziman di negara kita, dan ini boleh membawa kepada tafsiran, bahawa menteri-menteri yang dilantik itu tidak berwibawa, atau tidak menjalankan tugas sepertimana yang diharapkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi parlimen sebentar tadi.

Bagaimanapun kata beliau lagi, terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan berlakunya rombakan kabinet sama ada dari segi tempoh masa atau siapa yang akan dilantik menjadi menteri.

“Terpulanglah kepada Perdana Menteri, sama ada beliau mahu mengikut kelaziman rombakan kabinet yang berlaku di zaman kerajaan sebelum ini.

“Tetapi pilihan raya baru sahaja berakhir pada bulan Mei lalu, malah ada sesetengah menteri itu dilantik tak berapa lama selepas tempoh PRU berakhir. Jadi tempoh ini amat singkat untuk satu rombakan kabinet.

“Sekiranya ada menteri yang digugurkan melalui rombakan kabinet ini, ini bermakna menteri yang digugurkan daripada kabinet itu tidak dapat menjalankan tugas seperti mana yang dikehendaki,” ujarnya lagi.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.