Tidak Dapat Tunai Janji Jangan Pula Jadikan 1MDB Alasan Untuk Kelirukan Rakyat


SHAH ALAM, 12 Nov – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta untuk tidak menjadikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai ‘kambing hitam’ kepada kegagalan mereka dalam memenuhi janji manifestonya, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Katanya, kes 1MDB masih di mahkamah tetapi pihak berkuasa terus bercakap mengenainya sehingga di dalam pembentangan Bajet 2019 tuduhan demi tuduhan dilemparkan dengan membelakangi proses mahkamah.

“Mana satu yang benar berhubung kes 1MDB hutang sebanyak RM40 bilion atau RM50 bilion?

“PTPTN juga diarahkan segera dibayar atas alasan Jho Low sudah mengambil 50 bilion wang negara,” ujarnya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman facebooknya hari ini.

Katanya, demokrasi yang berpaksi kepada kebebasan rakyat untuk menyampaikan pandangan di pelbagai media tidak kira media perdana mahupun sosial sewajarnya disokong, namun apabila dari sehari ke sehari ada pihak yang memberi pelbagai alasan untuk melakukan sesuatu bercanggah dengan realiti yang ada, maka ia harus berkati-hati.

“Isu ketuanan Melayu yang dibangkitkan oleh seorang menteri yang juga ketua kepada segmen orang muda dalam satu parti politik misalnya bukanlah isu remeh-temeh.

“Ia bukan sahaja membuatkan orang Melayu marah, malah kecewa kerana tersalah pilih pemimpin untuk membawa negara ini ke masa hadapan yang lebih maju.”

Tegasnya, Raja-Raja Melayu, tanah rezab Melayu, bantuan biasiswa MARA dan PTPTN yang banyak diterima orang Melayu adalah bukti ketuanan Melayu di negara ini.

“Saya ingin mempersoalkan adakah pengundi PH hanya orang bukan Melayu sahaja. Bukankah berjuta undi orang Melayu telah diberi kepada PH.

“Justeru saya berasa bimbang apabila hak orang Melayu diambil sedikit demi sedikit. Hingga banyak masjid tidak lagi dapat dibina atas alasan membayar hutang negara.”

Ujarnya, sebagaimana pihak berkuasa, rakyat juga ingin tahu kebenaran tentang kes1MDB.

“Malahan Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah meminta kes tersebut disiarkan secara langsung, namun pihak Kementerian Penerangan menolak cadangan tersebut.

“Kita berharap kes 1MDB tidak dijadikan kambing hitam kepada kegagalan pihak Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi janji manifesto. Carilah mana-mana sumber agar rakyat Malaysia terus tidak bermimpi untuk menggunakan lebuh raya secara percuma dan belajar di universiti tanpa perlu membayar balik,” ujarnya lagi. – MediaUMNO