Belanjawan 2019 Belanjawan Tiada Harapan… ‘Copy-Paste’, Tukar Nama, Kesinambungan Dan Tidak Lengkap


KUALA LUMPUR, 12 Nov – Belanjawan 2019 Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya ada angka-angka besar tetapi tidak memberi harapan sama ada dari segi prinsip atau untuk merancakkan pembangunan, tegas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang mewakili Ketua Pembangkang dalam membahaskan Belanjawan 2019 di Parlimen, hari ini.

Katanya, tiada harapan untuk meningkat pengagihan kekayaan atau untuk menyediakan Malaysia yang kalis masa depan.

“Sebaliknya, saya melihat Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan PH ini pula mempunyai empat prinsip utama iaitu pertama; ‘copy-paste’, kedua; ‘tukar nama atau rebranding’, ketiga; ‘kesinambungan atau continuation’ dan keempat; ‘belanjawan tidak lengkap’.

“Jika diteliti pembentangan Belanjawan 2019 tempoh hari, adalah disimpulkan bahawa kebanyakan program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan PH merupakan kesinambungan daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya yang memegang Portfolio Kewangan dalam Kabinet Bayangan BN.

Tegasnya, kerajaan PH sebelum memenangi pilihan raya lalu sering melaung-laungkan tentang tax reform kononnya mereka akan memperkenalkan sistem cukai progresif bagi mewujudkan keseimbangan dan pada masa yang sama mengagihkan kutipan tersebut kepada kumpulan rakyat yang memerlukan.

“Namun selepas menang dan menjadi kerajaan, mereka tidak menggunakan peluang ketika pembentangan belanjawan tempoh hari untuk melaksanakan tax reform seperti yang dilaungkan sebelum ini.

Katanya, apa yang rakyat perlukan untuk mengharungi ekonomi tahun 2019 adalah harapan di mana kerajaan akan mula menguruskan negara, bukan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Harapan di mana kerajaan akan merangsang ekonomi dengan idea, bukan membantutkan ekonomi dengan pembatalan demi pembatalan. Harapan di mana kerajaan melihat ke hari esok dan menyediakan Malaysia untuk masa depan yang masih kabur, bukan hanya melihat ke hari semalam disulami serangan dan dendam.

“Maka itulah sebab kenapa saya nyatakan bahawa Belanjawan 2019 ini adalah belanjawan yang penting kerana ia adalah merupakan peluang bagi Kerajaan untuk membuktikan bahawa Harapan itu bukan hanya atas nama sahaja, tetapi dizahirkan melalui strategi dan idea,” katanya.

Tegasnya, itu hanyalah pengharapan yang tidak muncul untuk angka-angka besar belanjawan sahaja yang ditawarkan.

“Dari segi pembangunan, bukan hanya projek-projek rangsangan ekonomi telah dibatalkan, malahan tidak ada pengumuman dan strategi besar oleh Kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Balik-balik kita dengar hanyalah untuk kembalikan semula projek kurun ke-20 yg lalu iaitu projek kereta nasional dan jambatan bengkok.

“Tatkala ECRL dibatalkan, tiada projek rangsangan ekonomi gantian jangka panjang untuk kawasan-kawasan pantai timur agar mereka dapat merasai apa yang dirasai penduduk-penduduk bandar.”

Katanya, tatkala HSR dibatalkan, tiada projek rangsangan ekonomi gantian jangka panjang untuk mereka yang menetap di selatan Semenanjung, agar lebih banyak peluang ekonomi dan kekayaan untuk mereka yang tidak menetap di Kuala Lumpur.”

“Yang tiris itu, betulkanlah, yang boleh jimat, jimat, tetapi jangan dihukum pengundi di luar Kuala Lumpur.

“Saya faham, kebanyakan pengundi PH tinggal di Kuala Lumpur, tetapi ini Belanjawan 2019 untuk Malaysia, bukan Belanjawan 2019 untuk Kuala Lumpur,” katanya.

Terangnya, dari segi pengagihan kekayaan pula, Belanjawan ini dilihat kembali kepada pasaran bebas seperti ia adalah penyelesaian untuk segalanya. Penswastaan, penswastaan, penswastaan… kita kembali kepada dogma lama.”

“Dahulu kamu kritik kami, ‘waktu kerajaan, BN tak buat’. Sekarang saya bertanya kembali, ‘dah jadi Kerajaan, kenapa tak buat? Di mana realiti dan solusi untuk golongan M40 dalam Belanjawan 2019? Ternyata kerajaan PH hanya manis di bibir pandai bermain lidah.

“Saya juga ingin nyatakan dulu apabila Kerajaan BN memperkenal Transformasi Nasional 2050 (TN50), pembangkang waktu itu menuduh kononnya kami cuba memadamkan legasi dan menggantikan Wawasan 2020. Saya sentiasa konsisten nyatakan bahawa kami menyokong Wawasan 2020 dan TN50 adalah kesinambungan kepadanya. After 2020, what is next?

“Sekarang, dengan kurang lagi dua tahun untuk tiba ke tahun 2020, apakah rancangan Kerajaan untuk jangka panjang selepasnya selain daripada cadangan untuk lonjakan Industri 4.0 dan inisiatif untuk tenaga masa depan?”

Sebelum itu, beliau menyeru semua ahli Parlimen khusunya pemimpin kerajaan agar tidak menjadikan perbahasan sebagai ruang untuk semangat balas dendam dan berintikan serangan. – MediaUMNO