Belanjawan 2019 Belanjawan Air Mata, Skim ‘Property Crowdfunding’ Umpama Skim ‘Pak Man Telo’


KUALA LUMPUR, 12 Nov – Adakah Belanjawan 2019 adalah bajet air mata rakyat? Demikian persoalan yang dilontarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mencelah dalam perbahasan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini.

“Apabila disebut bahawa bajet yang sudah banyak ‘copy paste, re-branding’, banyak terlupa, apakah bajet ini apa yang disebutkan di bawah bajet air mata rakyat?” soalnya.

Ahmad Zahid sebelum itu mencelah bertanyakan perkara berkenaan ketika Khairy yang memegang Portfolio Kewangan dalam Kabinet Bayangan BN membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019, di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2019 disifatkan bukan sahaja belanjawan air mata malah belanjawan untuk golongan kaya dan menswastakan segala-galanya, demikian menurut Khairy ketika menjawab persoalan tersebut.

Khairy pada penghujung perbahasan berkata secara kesimpulan, beliau sangat setuju dengan apa yang dibangkitkan oleh Ahmad Zahid dan apa yang diharapkan kali ini di bawah Malaysia baru, seharusnya belanjawan 2019 adalah belanjawan untuk rakyat, belanjawan yang dapat mengangkat martabat orang miskin, nelayan, petani, pelajar.

“Tetapi kita melihat adalah belanjawan untuk golongan kaya, belanjawan yang menswastakan segala-galanya. Belanjawan yang terlupa habis segmen-segmen penting… macam mana boleh terlupa… macam mana nelayan dan petani pada musim tengkujuh boleh dilupa begitu sahaja.

“Tidak ada konteks membantu rakyat di bawah. Kuasa telah memekakkan kepala mereka. Sudahlah manifesto tidak dapat ditunaikan, belanjawan yang sepatutnya dapat menyelamatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada rasa malu kerana tidak dapat tunaikan manifesto malah belanjawan ini sangat-sangat gagal mempertahankan golongan yang ada di bawah,” katanya.

Khairy seterusnya dengan nada sinis mengingatkan Menteri Kewangan jika ingin melakukan ‘copy paste’ buatlah secara menyeluruh.

“Lain kali Menteri Kewangan kalau nak copy pastecopy paste habis semualah BN…lagi senang rakyat dijaga dengan begitu baik. Sebab itu atas kelompongan besar yang wujud di dalam belanjawan ini, Rembau bagi pihak BN menolak Rang Undang-Undang Perbekalan 2019,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, dalam ucapannya Khairy menyifatkan skim perumahan baharu iaitu Property Crowdfunding umpama skim ‘pak man telo’ yang menimbulkan banyak persoalan malah jika dibandingkan dengan apa yang diusahakan pada kerajaan BN sebelum ini, ianya jauh lebih baik memberi manfaat untuk rakyat.

“Contohnya Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang telah bermula pada tahun 2011, yang menyediakan pinjaman 100% dan tidak memerlukan pembeli mengeluarkan wang pendahuluan 10%. Kerajaan BN juga telah melaksanakan program Rent-to-Own yang membolehkan penyewa untuk membeli rumah menggunakan wang simpanan yang dikumpul bersekali sepanjang tempoh sewaan. Ini lebih baik.

“Ini baharulah dikatakan membantu pemilikan rumah oleh rakyat bukannya memberi ruang spekulasi harga seperti skim Property Crowdfunding ini,” katanya.

Soalnya siapakah sebenarnya yang mendapat manfaat menerusi skim Property Crowdfunding?

“Kononnya menerusi mekanisme baharu ini, seorang pembeli rumah hanya perlu mengeluarkan 20% daripada harga jualan dan seterusnya memiliki rumah ini untuk tempoh 5 tahun tanpa perlu membayar apa-apa tanggungan bulanan sebelum pembeli tersebut menjual kembali rumah ini atau membuat pembelian penuh menerusi pembiayaan semula.

“Pada masa yang sama, pelabur iaitu baki mereka yang akan menanggung 80% harga rumah ini akan mendapat pulangan sebanyak 5% setiap tahun untuk tempoh 5 tahun tersebut. Saya tidak tahu ini skim apa benda. Jika seseorang itu boleh mengeluarkan 20% wang mereka untuk skim ini, sudah tentu mereka juga tidak mempunyai masalah besar untuk mengeluarkan 10% downpayment untuk pembelian penuh.

“Kedua, jika selepas 5 tahun mereka perlu menjual semula rumah ini bermakna objektif untuk meluaskan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat tidak akan tercapai kerana selepas 5 tahun, rumah ini bukan lagi milik mereka. Jika mereka bercadang untuk terus membeli rumah tersebut, sudah tentu harga yang lebih tinggi perlu dibayar pada masa tersebut,” tegasnya.

Tegasnya  lagi, dalam pada pembeli 20% ini berhadapan risiko kemungkinan rumah mereka tidak dapat dijual selepas tempoh 5 tahun serta ketidaktentuan harga rumah pada masa tersebut, pelabur 80% pula dijanjikan pulangan 5% setahun.

“Mereka yang dicuba untuk bantu tidak ada rumah, terpaksa bayar 20 peratus yang 80 peratus dapat pulangan 5 peratus setahun. Persoalan lain yang perlu dijawab, adakah selepas 5 tahun, cukai keuntungan harta tanah (CKHT) pada kadar 15% atau 10% untuk tahun ke-6 dan seterusnya perlu dibayar oleh pembeli 20% atau pelabur 80% ini? Ini perlu jelas kerana risiko terletak kepada mereka yang beli rumah,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.