Pihak Beri Alasan Tidak Kisah Tentang Manifesto, Asal Najib Jatuh Kurang Cerdik – Tajuddin

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan pihak yang membuat kenyataan bahawa mereka tidak kisah tentang manifesto Pakatan Harapan asalkan Datuk Seri Najib Razak dan UMNO dapat dijatuhkan sebagai kurang cerdik.

Ini adalah kerana menurut beliau, manifesto itu merupakan bayangan kepada pengundi ke mana arah negara yang ingin dibawa oleh sesebuah parti politik, sekiranya mereka diberikan mandat untuk mentadbir negara.

“Manifesto merupakan terjemahan kepada perancangan sesebuah parti politik itu untuk mencorakkan masa depan negara melalui pelan jangka panjang dan jangka pendek bagi pembangunan ekonomi, sosial dan sebagainya, demi kebaikan rakyat di negara ini.

“Sekiranya Datuk Seri Najib jatuh sekalipun, tetapi negara hendak mereka bawa ke jurang kehancuran, apa ertinya untuk kita menjatuhkan Datuk Seri Najib?

Namun jelas beliau sekiranya alasan yang diberikan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib adalah untuk melihat masa depan negara jadi lebih baik, dengan manifesto yang baik untuk rakyat, maka pemikiran seperti itu boleh diterima.

“Tetapi pemikiran asalkan Datuk Seri Najib jatuh kemudian lantaklah apa yang nak jadi pada negara, itu kita tidak boleh terima. Sedarkah apa yang mereka cakapkan sebenarnya ini? Tetapi saya pelik, ada juga golongan cerdik pandai yang berfikiran macam itu.

“Bagi saya, jika ada mana-mana individu, kelompok atau kumpulan yang berfikiran seperti itu, memang sukar untuk kita berbincang sesuatu pun dengan mereka dalam apa juga perkara. Jadi, biarlah mereka itu dengan dunia mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator program, Datuk Dr Azizan tentang alasan tidak pedulikan manifesto, asal Najib tumbang yang berlegar di media sosial ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi Dari Parlimen bertajuk ‘Kerajaan PH : Ke Mana Hala Tujunya’ yang disiarkan secara langsung melalui facebook rasmi UMNO Online.

Sementara itu, beliau turut mengulas berhubung cadangan kerajaan untuk memberhentikan perladangan sawit ekoran harga yang makin menjunam dan lambakan yang sukar dikawal.

Menurut Tajuddin, kerajaan harus sedar biarpun harga kelapa sawit agak menjunam hari ini, namun sektor perladangan itu merupakan satu sumber pendapatan bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga kepada negara.

“Ekspot kelapa sawit kita berjumlah berbilion-bilion. Jadi, jika kerajaan mahu memberhentikan penanaman sawit tanpa ada alternatifnya yang lain, apa akan jadi pada pendapatan negara?

“Kerajaan hari ini sudahlah ada masalah daripada segi pendapatan negara, mahu dikurangkan lagi pendapatan negara dengan memberhentikan penanaman kelapa sawit ini?

Melaiankan jelas beliau, jika kerajaan mempunyai alternatif baru atau sudah ada sumber-sumber baru untuk  menjana kekayaan negara.

“Kalau dah ditebang pokok sawit ini, mahu ditanam pokok apa pula yang boleh memberikan pendapatan yang lebih baik daripada hasil kelapa sawit? Jika mereka ada perancangan itu, maka apakah ia? Berilah tahu kepada rakyat. Saya yakin rakyat pastinya mahu tahu.

“Jadi saya harap, Perdana Menteri sebelum buat keputusan yang drastik ini, buat perancangan yang betul-betul apa pengganti kepada tanaman kelapa sawit itu. Pastikan tanaman pengganti kelapa sawit itu adalah lebih baik dan menghasilkan pulangan balik yang lebih banyak daripada kelapa sawit itu sendiri,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.