Isu PTPTN : Menteri, Pemimpin PH Tidak Harus Jadikan Diri Mereka Bahan Ketawa


KUALA LUMPUR, 7 Nov – Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak seharusnya menuding jari menyalahkan pihak lain mempolitikkan isu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebaliknya mengakui kesilapan diri sendiri.

Justeru beliau menggesa agar menteri atau pemimpin PH tidak menjadikan diri mereka sebagai bahan ketawa kerana umum mengetahui merekalah sebelum ini yang secara besar-besaran memainkan isu PTPTN ini ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Sekarang mereka beri pelbagai alasan dan berkata, bila sudah hutang wajib bayar tetapi adakah mereka lupa, mereka yang menabur janji untuk menghapuskan hutang PTPTN… mereka juga harus ingat, bukan sahaja pinjam wajib bayar tetapi janji juga wajib ditunaikan,” tegas beliau.

Tambahnya lagi perkara terbaik yang mesti dilakukan kerajaan PH adalah memohon maaf kerana manburkan janji palsu bukannya menjadikan pihak lain sebagai mangsa untuk menutup keterlanjuran mereka.

Hakikatnya kata beliau lagi, anak muda khususnya peminjam PTPTN mesti menerima realiti bahawa janji manifesti kerajaan PH hanyalah janji kosong semata-mata.

“Pembentangan Bajet 2019 baru-baru ini adalah satu bukti kukuh di mana janji manifesto PH hanyalah satu gula-gula manis yang telah bertukar menjadi racun. Contoh paling mudah adalah isu PTPTN.

“Mereka janji akan menghapuskan hutang PTPTN sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya dan kini setelah mereka berkuasa, bukan sahaja hutang tersebut tidak dihapuskan malah peminjam ‘dipaksa’ membayar melalui potongan gaji.

“Jika sebelum ini mereka juga ada berjanji peminjam yang melebihi pendapatan RM4000 baru dikenakan bayaran tapi kini gaji RM1001 pun sudah terpaksa bayar tanpa ada pilihan lain,” ujar beliau.– MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.