Belanjawan 2019: Baik Untuk Kerajaan, Tidak Untuk Rakyat


KUALA LUMPUR, 5 Nov – Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng julung-julung kali selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan dilihat baik untuk kerajaan tetapi tidak bererti baik untuk rakyat keseluruhannya malah tidak sama dengan naratif yang dibawa sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lepas, kata Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun.

Katanya, tiada sebarang tarikan seperti yang diwar-warkan oleh PH untuk merancakkan sektor ekonomi negara.

“Bajet 2019 mengeksploitasi kewangan Petronas sebanyak yang mungkin di mana Petronas membayar dividen khas RM30 billion kepada kerajaan. Dividen tambahan ini bererti jumlah dividen yang dibayar Petronas pada tahun ini mencecah RM54 billion.

“Tidak boleh dinafikan bahawa Petronas merupakan salah satu penyumbang terbesar pendapatan negara sejak bertahun lamanya, tetapi memandangkan harga minyak mentah dunia yang tidak menentu, kebergantungan kepada dividen Petronas adalah suatu tindakan yang kurang bertanggungjawab dan berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Terang beliau yang juga bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, dengan pergolakan di Timur Tengah yang kelihatan tiada kesudahan, harga minyak dunia terdedah kepada risiko turun naik.

“Atas kepercayaan ini, Barisan Nasional (BN) melalui Inisiatif Ekonomi Rakyat 2019 memilih untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara supaya kalis masa hadapan melalui sistem percukaian GST.

“Di samping mengamalkan sistem percukaian SST yang terkenal dengan kelompongan dan ketirisan, kerajaan gagal untuk memperkenalkan cukai baharu yang progresif serta memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Saya berpendapat kerajaan perlu bergerak seiring dengan negara-negara maju yang sedang rancak memperkenalkan cukai karbon dan memperkasakan ‘wealth tax’ yang merangkumi cukai ke atas harta tetap, pelaburan saham, insuran dan tunai terkumpul dalam simpanan,”

Jelasnya, melalui cara ini, cukai-cukai tersebut dapat dikutip daripada golongan sasaran dan tidak membebankan seluruh rakyat Malaysia, di samping menjana pendapatan negara, mampu membentuk masyarakat yang lebih adil dan seimbang.

“Walaupun pendapatan negara berkurang, kerajaan melalui belanjawan 2019 akan membelanjakan wang lebih banyak berbanding sebelum ini iaitu sebanyak RM314.5b (2018:RM290.4b).

“Kaedah ‘zero-based budgeting’ untuk mengurangkan perbelanjaan ternyata memberi kesan yang sebaliknya. Tambahan pula, mereka sering kali menuduh kerajaan terdahulu membebani negara dengan lambakan hutang, tetapi, pada pembentangan Bajet 2019, Lim Guan Eng mengumumkan hutang rasmi kerajaan dijangka akan meningkat kepada 51.8% berbanding 50.7%.

“Hakikat ini tidak sama dengan naratif yang dibawa oleh PH sewaktu kempen PRU-14 yang lepas.”

Tegas beliau, kerajaan juga tanpa segan silu telah mengabaikan janji manifesto mereka pada pilihan raya lepas seperti penangguhan bayaran balik hutang PTPTN buat peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

“Sebaliknya apa yang berlaku hari ini adalah rakyat ditekan dengan cara pembayaran balik secara paksaan. Janji menghapuskan bayaran tol selepas pilihan raya juga kini diabaikan.

“Bahkan kerajaan juga melupakan golongan luar bandar terutamanya petani dan nelayan kerana tiada insentif langsung yang dikhaskan buat mereka, manakala, agak ketara apabila golongan M40 sebagai tulang belakang ekonomi rakyat tidak dilayani dangan sebaiknya.”

Selaras dengan itu, beliau berharap agar rakyat mendengar Inisiatif Ekonomi Rakyat yang dibawa oleh BN.

“Benar bahawa BN kini tidak lagi berada di tampuk pemerintahan untuk membela nasib rakyat Malaysia, tetapi, suara rakyat akan memberi tekanan kepada kerajaan hari ini untuk lebih prihatin terhadap cabaran hidup yang dihadapi rakyat serta mengutamakan ekonomi lestari tanpa terlalu mengharapkan kepada sumber petroleum negara semata-mata,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.