ATM Digesa Tarik Arahan ‘Gila’ Larang Berpantun

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Kementerian Pertahanan digesa agar menarik balik larangan berpantun dalam majlis anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disifatkan sebagai arahan gila.

Persatuan Linguistik Malaysia (PLM ) kesal dengan kenyataan yang disuratkan bahawa pantun dilarang untuk diselitkan dalam teks juruacara dalam majlis anjuran ATM.

Timbalan Presiden PLM Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, banyak lagi yang perlu dibuat oleh pimpinan tentera untuk memperkukuh pertahanan negara berbanding usaha membuang pantun dalam majlis anjuran ATM.

“PLM meminta Menteri Pertahanan mengarahkan agar larangan “gila” tersebut ditarik balik.

“Tidakkah pimpinan ATM sedar bahawa pantun adalah antara warisan budaya Melayu yang tertua yang mempunyai nilai estetika yang tinggi di samping pelbagai mesej dapat disampaikan melalui pantun termasuk semangat juang yang tinggi, mempertahankan negara, menyuntik keberanian dan sebagainya,” kata Kamal Shukri.

Kamal Shukri berkata, tiada negara lain di dunia yang mewarisi puisi pantun yang tinggi nilai estetika kecuali Malaysia.

Tegas beliau, pantun ada pelbagai jenis dan pastinya bukan pantun yang romantis atau yang mendayu-dayu yang akan dibaca oleh juruacara yang pastinya bijak memilih bersesuaian dengan majlis.

“Tak mungkin pantun kisah peperangan dibaca dalam majlis makan malam atau pantun mendayu dibaca dalam majlis tamat latihan tentera,” kata Kamal Shukri.

Semalam tular surat pekeliling arahan rasmi bertarikh 2 November 2018 kepada semua Markas TDM, TLDM dan TUDM agar tidak menggunakan pantun dan jenaka oleh juruacara ketika majlis-majlis rasmi ketenteraan.

Surat larangan yang ditandatangani Ketua Staf Markas ATM, Datuk Kamalruzaman Mohd Othman menyebut arahan larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara majlis rasmi ketenteraan ATM.

“Satu perbincangan bersama Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin) telah diadakan berhubung kewajaran penggunaan pantun di dalam skrip juruacara semasa berlangsungnya majlis-majlis rasmi ketenteraan.

“Hasil daripada perbincangan tersebut adalah dimaklumkan PAT telah memutuskan bahawa tiada lagi penggunaan pantun dalam skrip juruacara bagi setiap majlis rasmi ketenteraan,” kata Kamalruzaman.

ATM dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun berkata, arahan meminta agar tidak menggunakan seloka, pantun dan jenaka oleh juruacara hanya melibatkan majlis rasmi ketenteraan yang bersifat regimental dan pelaksanaannya dilakukan dengan tertib, penuh dengan adab dan etika ketenteraan.

Majlis rasmi yang termasuk dalam larangan tersebut adalah acara yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong, raja-raja dan pembesar negeri, acara perbarisan dan acara rasmi yang dilaksanakan di peringkat ATM dan perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

ATM masih memberi kelonggaran untuk penggunaan pantun, gurindam, seloka dan seumpamanya di dalam majlis yang tidak bersifat regimental.-UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.