Ramai Luah Rasa Kecewa Tertipu Janji Manifesto Kerajaan PH – Najib

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ramai anak muda yang beliau temui hari ini meluahkan rasa kecewa kerana tertipu dengan janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pembayaran balik PTPTN di mana mereka berjanji peminjam akan mula membayar pinjaman hanya apabila gaji melebihi RM4 ribu.

Menurutnya, beliau yakin anak-anak muda yang mengundi PH kerana janji PTPTN itu akan merasa bertambah kecewa dengan pembentangan bajet 2019 apabila kerajaan menetapkan hanya yang bergaji RM1 ribu ke bawah sahaja yang tidak perlu membayar pinjaman.

“Gaji Mat Bangla pun lebih dari seribu. Mat Bangla yang kerjanya potong rumput di lapangan golf, gaji mereka pun lebih daripada seribu. Mana ada graduan yang gajinya di bawah seribu? Semuanya atas pada seribu. Boleh kata takda pengecualian. Semua kena bayar.

“Daripada tak bayar, kena bayar, potong daripada 2 peratus hingga 15 peratus. Kalau zaman saya, ada diskaun. Tak mampu boleh runding. Tak mampu bayar RM200… bayar RM100. Tak mampu RM100, RM50 pun boleh bayar, sebab dalam Islam, wajib kita bayar hutang.

“Tapi sekarang ini, pihak yang menjanjikan tak payah bayar, hari ini kena bayar. Jadi, anak muda merasa mereka sudah kena ‘kencing’ dengan PH,” katanya ketika bercakap dalam sesi Santai Bersama Najib Razak yang bertempat di PWTC di sini hari ini.

Sementara itu, Najib turut membidas kerajaan PH yang didakwanya banyak menipu rakyat dalam soal 1MDB, soal manifesto, di mana pembentangan bajet 2019 semalam mengesahkan penipuan mereka itu.

“Dulu PH kata, bila menang Putrajaya, mereka kata akan turunkan harga minyak kepada RM1.50. Saya tertunggu-tunggu juga ucapan Menteri Kewangan semalam. Eh! lain pula ceritanya. Petrol akan diapungkan mengikut kaedah Automatic Price Mecanisme pula. Maknanya, RON 95 akan naik. Tak tahu berapa, tapi, katalah daripada 2.20 naik 2.70.

“Kalau bagi 100 liter sebulan untuk kereta 1.5 liter ke bawah, yang gunakan Proton Preve ke, Proton Pesona ke, tidak akan dapat subsidi minyak. Motosikal pula, hanya 125cc ke bawah. Motosikal yang popular adalah yang atas 130cc. Jadi yang guna atas 125cc tak dapat juga,” ujarnya.

Begitu juga dengan soal 1MDB, ujarnya lagi.

Kata Najib,kerajaan hari ini jangan melihat daripada segi hutang sahaja.

“Hutang 1MDB pun sudah berkurang sebanyak RM30 bilion. Semua hutang itu bukannya kita bayar esok. Ada hutang yang 2039 baru habis bayar, dan kalau kita tandatangani ‘settlement agreement’ dengan IPIC, kita akan dapat balik semua duit itu. Sebanyak US6 Bilion akan dapat balik kepada kita.

“Aset pun masih ada. Lihat sahaja bangunan TRX yang berada tidak jauh dari sini. TRX itu tuan-tuan, tinggi nilainya. Regional Headquaters HSBC ada di situ. Syarikat Great Estern pun ada di situ. Ada Mulia Tower yang tinggi, lebih tinggi daripada Petronas Tower.

“Ini belum cerita tentang Bandar Malaysia lagi. Bandar Malaysia ini senang-senang dapat keuntungan RM20 bilion,tapi bukanlah esok lusa. Bangunkan tanah makan masa. Ada lapan kem tentera kena pindah dulu sebelum itu.

“Saya tengok kem tentera di Sendayan yang dibiayai oleh 1MDB, tuan-tuan tahu tak, ada kolam renang di situ.  Ada padang golf, ada equastrian center yang diminta oleh pihak tentera. Belum ada duit masuk lagi tapi dah kena belanja buat itu semua. Sekarang ini, ada 500 ekar yang boleh kita bangunkan dan nilainya amat besar,” tegasnya.

Najib seterusnya mempersoalkan kerajaan, mengapa semua fakta itu tidak diambil kira.

Kerajaan hari ini lebih fokus hanya pada hutang sahaja tanpa mengambil kira dan memberitahu rakyat tentang nilaian aset yang dimiliki oleh 1MDB.

“Dengan alasan itu, mereka kurangkan kos projek-projek. Mereka mahu kurangkan kos LRT, tetapi mereka sebenarnya bukan kurangkan kos, sebaliknya kurangkan kualiti. Daripada stesen besar, jadi stesen dunia ketiga. Malulah kita tuan-tuan.

“Tengok MRT kita hebat tak tuan-tuan? Kalau kita kurangkan spek, analoginya daripada kereta Mercedes kepada kereta Myvi, memanglah jimat duit. Tapi kita dapat kereta Myvi lah, bukan Mercedes.

“Itu bukan jimat duit, tapi mengucupkan teknikal spek. Selepas itu mereka klaim mereka lebih cekap kerana berjaya mengurang kos. Tipu lagi. Banyak yang mereka sudah tipu kita,”ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.