Masuk PH Mesti Bebas Rasuah, Patutnya Bebaskan Dulu PH Dari Perasuah


KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa tidak akan sewenang-wenangnya menerima kemasukan ahli Parlimen UMNO yang dikatakan melompat parti ke dalam Bersatu.

Kenyataan tersebut telah dibuat oleh Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan agar ahli Parlimen UMNO disaring terlebih dahulu sebelum diluluskan dengan meneliti status agar betul-betul bebas daripada sebarang tindakan undang-undang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tahukah Anwar, Kerajaan PH itu sendiri dibangunkan dengan “rasuah”? PH membuat janji 100 hari untuk merasuah rakyat dan ternyata mereka gagal menunaikannya.

“Anwar sendiri dirasuah jawatan Perdana Menteri (PM) oleh Tun Daim yang menemuinya di penjara Sungai Buloh dan Anwar juga mengakui ada perjanjian bertulis mengenainya.

“Kalau Anwar serius, buang dulu perasuah dalam PH terutamanya Tun Mahathir dan Tun Daim,” katanya dalam hantaran di facebook milik beliau.

Dalam hal ini beliau merujuk semula kepada ucapan Anwar dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang di Taman Emas pada 3 Mac 2014 yang dakwa “Daim manusia paling rasuah dalam sejarah Malaysia” dan menurutnya Tun Daim turut memiliki sebuah bank di Afrika dan Eastern Europe.

“Manakala Mat Sabu dalam satu rakaman video bertarikh 1 Mei 2015 mendakwa Tun Mahathir adalah “bapa perompak”. Rafizi pula dalam video bertarikh 7 Februari 2017 memberikan maklumat terperinci bagaimana Tun Mahathir dan anak-anaknya menjadi kaya raya.

“Sebab itu saya berbeza pendapat dengan cadangan supaya pembangkang menyokong Tun Mahathir sebagai PM. Sebenarnya lebih baik sokong Anwar agar cepat menjadi PM.

“Kalau Anwar jadi PM maka bolehlah dia melakukan pembersihan dalam PH termasuk mendakwa Tun Mahathir dan Tun Daim yang beliau tuduh sebagai bapa perasuah. Buka balik kes rasuah Lim Guan Eng. Siasat kekayaan luar biasa anak Mahathir.”

Pokoknya, katanya, Anwar perlu bertindak cepat kerana jika lambat Tun Mahathir mungkin akan mendakwa beliau terlebih dahulu dan Anwar tidak akan sempat menjadi PM. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.