Maka Berakhirlah Sandiwara Tabung Harapan Untuk Bayar Hutang Negara


KUALA LUMPUR, 1 Nov – Cukup-cukuplah bersandiwara dengan menuding jari kepada kerajaan lalu, kerana rakyat mahu melihat perancangan ke hadapan yang boleh merangsang ekonomi sekaligus mengurangkan beban rakyat yang semakin terhimpit dek kerana perpolitikan melampau sehingga menjejaskan ekonomi negara keseluruhannya.

Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki yang mengulas berkaitan pengisytiharan secara rasmi Tabung Harapan untuk ditutup menjelang 31 Disember 2018 dengan jumlah terkumpul setakat ini RM196.3 juta.

“Sejak awal ditubuhkan, naratif yang dimainkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah dana yang disumbang oleh rakyat melalui Tabung Harapan adalah untuk membayar hutang negara yang mencecah RM1 trilion ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ternyata Kerajaan tidak lagi boleh berterusan menipu rakyat apabila pengisytiharan penutupan Tabung ini diumumkan sebelum pembentangan Bajet 2019 esok yang akan menyerlahkan peningkatan hutang negara lantaran polisi-polisi ekonomi yang masih kabur dan samar sejak PH memerintah.

“Apa yang pasti sejak Kerajaan PH mensensasikan hutang negara mencecah RM1 trillion, ekonomi negara makin mengucup dengan pengeluaran dana pelaburan asing berterusan sehingga mencecah sehingga RM36 Billion lantaran ketidak-yakinan pasaran terhadap Kerajaan baru yang semacam menipu bahkan menidakkan standard atau Piawai Antarabangsa dalam sistem perakaunan dan pelaporan mengenai Hutang Negara.”

Katanya, ditambah dengan pelbagai polisi populis yang tidak menguntungkan rakyat jangka panjang seperti pemansuhan GST dan kelembapan ekonomi akibat dasar penjimatan yang tidak bijaksana seperti menghentikan banyak kontrak-kontrak kecil bagi manfaat PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) telah menyebabkan defisit bajet melebar dan pertumbuhan ekonomi bertambah merudum.

“Keadaan ini juga memaksa Kerajaan PH terus meningkatkan hutang negara, tidak sebagaimana yang diuar-uarkan untuk menurunkan hutang negara.

“Menurut Timbalan Menteri Kewangan Selasa lalu di Parlimen, sehingga September 2018, Kerajaan PH telah meminjam (menambah hutang negara) sebanyak RM87.5 billion.”

Tegasnya, ini menjelaskan lagi sandiwara Kerajaan PH yang hakikatnya tiada usaha yang berkesan untuk mengurangkan hutang negara sebaliknya meletakkan beban kepada rakyat untuk terus menyumbang ke dalam Tabung Harapan.

“Mana mungkin RM196.3 juta dana rakyat Tabung Harapan boleh selesaikan hutang negara yang didakwa mencecah RM1 trilion apatah lagi ditambah dengan pinjaman baru dibuat kerajaan PH.

“Justeru, sama-samalah kita menantikan apakah pakej ransangan yang bakal diumumkan Kerajaan dalam Bajet 2019 esok untuk memulihkan ekonomi negara sekaligus mengurangkan defisit bajet sebagaimana dilakukan Kerajaan BN terdahulu,” katanya lagi dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman facebooknya hari ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.