‘Inisiatif Ekonomi Rakyat’ : BN Cadang Tiga Teras Bina Ekonomi Negara Yang Mapan

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan strategi ekonomi Pakatan Harapan yang tidak jelas telah memperlihatkan beberapa indikator yang merisaukan di mana antaranya pertumbuhan beberapa sektor penting seperti pertanian dan perlombongan mencatatkan pertumbuhan negatif, manakala sektor pembuatan dan pembinaan juga amat perlahan.

Selain itu menurut beliau, lebihan dagangan menjunam lebih 40 peratus pada Jun 2018, jatuh 83 peratus pada Ogos 2018. Begitu juga katanya lagi, dengan eksport minyak kepala sawit yang menurun sebanyak 13 peratus berbanding pada tahun 2017.

“Semua perkara ini berlaku adalah kerana strategi ekonomi kerajaan PH yang tidak jelas, tidak memberikan sebarang idea pertumbuhan ekonomi, kegagalan menepati janji manifesto, malah terdapat inisiatif kerajaan terdahulu banyak yang dibatalkan dan tidak diteruskan.

“Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan seperti jumlah hutang negara yang tidak mengikut piawaian antarabangsa menyebabkan ramai pelabur-pelabur asing keluar daripada Malaysia.

“Keputusan-keputusan ekonomi yang terkebelakang seperti mengembalikan cukai SST yang tidak telus serta tindakan kerajaan menghentikan projek-projek besar untuk wilayah di luar Kuala Lumpur telah menyebabkan keadaan ekonomi negara menjadi seperti ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika membentangkan Inisiatif Ekonomi Rakyat Barisan Nasional di dewan taklimat parlimen hari ini.

Sehubungan dengan itu, BN menurut beliau mencadangkan inisiatif ekonomi rakyat bagi tahun 2019 yang dibina di atas falsafah yang dibawa oleh kerajaan BN sebelum ini untuk memastikan semua segmen terpelihara melalui tiga teras iaitu merancakkan pertumbuhan, meningkatkan pengagihan dan kalis masa depan.

“Antara usaha untuk teras pertama iaitu merancakkan pembangunan ialah dengan menyambung semula projek infrastruktur seperti ECRL dan HSR. Ini bagi menjana peluang pekerjaan, memastikan wilayah-wilayah di luar Kuala Lumpur menerima pembangunan yang setara.

“Bagi teras yang kedua pula, iaitu meningkat pengagihan. Segala kekayaan yang dicipta melalui agenda pembangunandapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia”, katanya.

Ini jelas beliau bertujuan untuk menutup jurang diantara syarikat besar dan syarikat kecil, antara majikan dan pekerja dan di kawasan bandar dan luar bandar.

“Ini adalah usaha kita untuk berkongsi kekayaan yang lebih banyak untuk rakyat di negara ini.

“Teras yang ketiga ialah kalis masa depan. Persiapan menghadapi pantas ekonomi dunia dengan meletakkan teras-teras untuk kejayaan bagi lima atau sepuluh tahun akan datang. Antaranya ialah kuota hari esok dalam sistem percukaian kita,” ujarnya.

Buat kali pertama, menurut beliau lagi, BN juga mencadangkan supaya beberapa cukai dikhaskan untuk perbelanjaan tertentu sahaja.

“Sebagai contoh, cukai karbon yang ingin kita perkenalkan, hanya digunakan untuk dana yang dibelanjakan untuk pembangunan yang ada kaitan dengan alam persekitaran.

“Begitu juga dengan cukai soda. Kita cadangkan ianya dihadkan untuk perbelanjaan bagi kesihatan. Seperti nutrisi bagi kanak-kanak, pencegahan penyakit tidak berjangkit dan sebagainya,” katanya.

Kata Khairy lagi, cadangan-cadangan tersebut akan diperhalusi dengan lebih mendalam lagi oleh setiap pembahas yang akan berbahas bagi BN untuk sesi belanjawan yang akan datang ini.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.