UMNO Tolak Sekeras-kerasnya Usaha Kerajaan PH Ratifikasi ICERD


KUALA LUMPUR, 30 Okt – UMNO menolak sekeras-kerasnya hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan Ratifikasi ICERD (International Convention On Elimination Of All Forms Racial Discrimination) bermula tahun hadapan.

Menurut Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, UMNO menyokong segala bentuk penentangan yang dilancarkan oleh parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat madani keseluruhannya.

“Majlis Kerja Tertinggi (UMNO) akan berbincang lanjut tindakan yang bakal kita ambil untuk menyemarakkan penentangan ini.

“UMNO menganggap ratifikasi ini ‘ultra vires’ dan mencabul Perlembagaan Negara,” tegas Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh dalam satu kenyataan di sini.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Sebagaimana maklum, Artikel 5 (d) (vii) ICERD antara lain menyebut bahawa negara yang menandatangani konvensyen ini hendaklah menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak semua orang untuk kebebasan berfikir dan beragama.

Justeru, usaha meratifikasi ini hendaklah ditentang kerana ia melibatkan pelbagai implikasi undang-undang termasuk risiko pindaan Perlembagaan Persekutuan yang sudah pasti mengancam kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy pada 24 Oktober lalu berkata kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019 selaras dengan manifesto PH.

Difahamkan esok, 31 Oktober, beberapa parti politik serta NGO akan menyerahkan memorandum kepada kerajaan menolak ICERD di hadapan bangunan Parlimen. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.